FOTO adalah ihsan keluarga
Mary Victoria Dass


“SEPERTI biasa...dia (Norzaimah) dan anaknya, Mohamad Danial Akif, nampak ceria. Tak sangka.

“Tapi, kalau nak diikutkan, sepanjang pengamatan saya...Mohamad Danial Akif-lah yang memang gemar sangat keluar dengan emak dia,” kata Norhasnina Abu Bakar, 37.

Norhasnina berkata demikian menceritakan perihal arwah adiknya, Norzaimah Abu Bakar, 31, dan Mohamad Danial Akif Mohd Saifulbakatiar, 8, yang maut dalam kemalangan, semalam.

Norzaimah dan Mohamad Danial Akif maut dalam kemalangan empat kenderaan di Jalan Pagoh-Parit Sulong, Muar, pada 8.21 malam semalam.

Mohd Saifulbakatiar Md Saion, 37, iaitu suami Norzaimah dan anak perempuan mereka, Nur Diyanah Syazwani, sembilan tahun, mengalami kecederaan.

Norhasnina berkata, arwah Norzaimah adalah suri rumah manakala suaminya bekerja kampung.

Menurutnya, dia difahamkan ketika kejadian arwah adiknya sekeluarga dalam perjalanan ke Pagoh.

Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan Norzaimah ialah tiga hari lalu.

“Kami kerap bertemu kerana menetap berhampiran dan arwah adalah adik bongsu daripada empat beradik. Namun, tak beritahu pun mereka hendak ke Pagoh.

“Saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada kenalan menyatakan Norzaimah sekeluarga kemalangan. Teman beritahu adik dan Mohamad Danial Akif meninggal,” katanya.

Norhasnina berkata, dia difahamkan Norzaimah maut di tempat kejadian manakala Mohamad Danial Akif meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital.

Katanya, Mohd Saifulbakatiar dan Nur Diyanah masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Norhasnina berkata, kedua-dua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Parit Othman di Jalan Parit Sulong, Batu Pahat.

“Kami akan merindui kedua-duanya dan berharap suami arwah dan anak perempuannya tabah dengan dugaan Allah SWT,” katanya ketika.

Berita berkaitan

Ajal ibu dan anak

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 5:38 PM