GELAGAT beruk memetik kelapa mencuit hati penonton.
PESERTA mengawal beruk miliknya untuk memetik kelapa pada Pertandingan Beruk Pantas Petik Kelapa di Kampung Alur Wan Syed, Marang.
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Bukan berapa banyak biji kelapa dijatuhkan yang menjadi perhatian tetapi gelagat beruk ketika pertandingan terpantas memetik buah berkenaan yang diadakan di Kampung Alur Wan Syed di sini, semalam yang mencuit hati penonton.

Ketika pemiliknya mengejar waktu yang hanya diberikan satu minit, gelagat beruk yang melompat pada tubuh tuannya, memanjat tanpa memetik apa-apa kerana saiz buah yang lebih besar, berjalan dan bersantai di atas palang yang mengandungi rimbunan kelapa serta memanjat pokok kelapa yang sebenar ternyata menghiburkan.

Ternyata Pertandingan Beruk Pantas Petik Kelapa yang julung kali diadakan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Kampung Alur Wan Syed menghimpunkan pemilik beruk bukan hanya dari daerah ini tetapi daerah lain seperti Kemaman, Kuala Nerus, Besut selain peserta dari Kelantan.

Timbalan Pengerusi J3K Tanah Lot Alur Wan Syed, Ikhtika Ahmad Hassan berkata, idea untuk menganjurkan program itu diilhamkan rakan yang majoritinya berasal dari Kelantan.

Beliau berkata, walaupun julung kali diadakan, 60 beruk bertanding untuk tiga kategori iaitu A (Beruk Besar), B (Beruk Sederhana) dan C (Beruk Kecil) dengan hampir 1,000 biji kelapa disediakan.

“Melihat kepada sambutan diberikan, pertandingan itu dijadikan acara wajib bagi kampung ini.

“Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, A Latiff Awang yang turut berkesempatan menyaksikan pertandingan itu juga menyokong usaha dilakukan yang dilihat boleh dikembangkan sebagai produk pelancongan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan,” katanya.

Dalam pertandingan itu, kepantasan beruk peliharaan Mohd Zulkifli Mat Idris, 42, yang digelar Wak Isa memetik 22 kelapa dalam tempoh seminit membolehkannya dipilih sebagai juara bagi kategori A.

Mohd Zulkifli yang berasal dari Bachok, Kelantan berkata, Wak Isa yang berusia tujuh tahun dibentuk dan dilatih untuk mendengar arahan dengan membesarkannya seperti anak sendiri.

“Wak Isa memasuki tujuh pertandingan seperti itu dan saya tidak pernah meletakkan apa-apa sasaran. Bagi saya, kalah menang adat pertandingan kerana apa yang penting dapat menambah kenalan dan berkongsi pengalaman.

“Saya membeli Wak Isa dengan harga RM2,000 dua tahun lalu dan mengambil masa seminggu untuk mengawalnya

“Kita kena lebih garang daripada beruk supaya ia mendengar kata dan tidak agresif,” katanya yang turut mempunyai seekor lagi beruk yang digelar Kuning.

Pada pertandingan itu, pemenang bagi Kategori A menerima RM300 (pertama), RM200 (kedua) dan RM150 (ketiga), pemenang Kategori B pula menerima RM200 (pertama), RM150 (kedua) dan RM100 (ketiga) dan pemenang Kategori C pula menerima RM150 (pertama), RM100 (kedua) dan RM50 (ketiga) manakala setiap pemenang tempat keempat hingga keenam bagi setiap kategori menerima hamper.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 4:29 AM