DANIEL Hakimi. FOTO Zulkepli Osman
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Di satu sudut padang kelihatan seorang murid fokus menjalani latihan sebagai penjaga gol sambil dikendalikan jurulatihnya walaupun di bawah terik matahari.

Tangannya tangkas menangkap bola yang disepak dan ada ketika merebahkan badan menangkis bola dan aksi lincahnya itu menarik perhatian beberapa murid lain.

Jika diperhatikan daripada luaran, Daniel Hakimi Mohd Rostam, 12, kelihatan sama seperti murid lain sebayanya namun hakikatnya murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Gading, di sini, mengalami autisme yang menyebabkan perkembangannya agak lambat.

Bagaimanapun, bakat dimiliki itu membuatkannya berjaya mencapai beberapa kejayaan membanggakan dan pernah bersaing di luar negara termasuk di Thailand dan Singapura.

Bapanya, Mohd Rostam Hassan, 37, berkata, bakat anak kedua itu mula dikesan ketika dia mengikuti abangnya bermain bola sepak setiap minggu.

Katanya, pada ketika itu dia hanya mahu Daniel Hakimi bergaul dengan orang lain memandangkan kanak-kanak itu gemar menyendiri dan hidup dalam ‘dunianya’.

“Masalah autisme dialaminya itu membuatkan dia gemar menyendiri dan tidak mahu bergaul dengan orang lain sehingga menyebabkan kami risau perkembangannya, jadi kami biar dia mengikuti abangnya bermain bola sepak.

“Lama-kelamaan Daniel menunjukkan minat dalam sukan itu namun lebih kepada peranan sebagai penjaga gol dan saya membuat keputusan menghantarnya mengikuti latihan secara intensif sebelum dia terpilih bermain untuk pasukan Shahzan Junior pada 2014,” katanya ketika ditemui di SK Jaya Gading, di sini, semalam.

Mohd Rostam berkata, bermain bersama pasukan Shahzan Junior membawa Daniel Hakimi beraksi dalam Festival Bola Sepak Remaja Antarabangsa di Bangkok, Thailand, pada Mac lalu dan berjaya meraih tempat ketiga.


DANIEL Hakimi menjalani latihan di padang SK Jaya Gading. FOTO Zulkepli Osman

Malah, bakat yang ada pada anak jati Kuantan itu turut diintai pasukan luar apabila dia dipinjamkan kepada pasukan Negeri Sembilan Inspire untuk bermain dalam Piala Singa di Singapura bagi kategori bawah 12 tahun baru-baru ini dan muncul juara.

Katanya, anaknya yang senang dengan panggilan Abang Mi itu banyak menunjukkan perubahan positif dan sudah mampu bergaul dengan orang lain serta berdikari.

Katanya, namun Daniel Hakimi perlu diberikan penerangan sejelasnya sebelum menjalani latihan kerana adakala pemahamannya tidak sama seperti pemain lain malah kerap kali juga dia tersalah tafsir arahan diberikan sehingga membuatkan emosinya terganggu.

Ahad lalu, Daniel Hakimi menerima anugerah Tokoh Kokurikulum sempena Hari Kecemerlangan SK Jaya Gading.

Sementara itu, ibunya Norul Huda Md Daud, 34, berkata masalah autisme mula dikesan sejak kanak-kanak berkenaan berusia dua tahun namun dia dan suaminya ketika itu berada dalam fasa ‘penafian’ dan menganggap anak mereka normal.

“Namun, apabila menginjak usia lima tahun baru kami merasakan perlu melakukan sesuatu apabila Abang Mi tidak dapat memahami arahan yang ringkas sebelum dia disahkan mengalami masalah itu oleh doktor pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.

“Bermula dari itu kami mula mendapatkan maklumat berkaitan autisme dan cara mengendalikan anak yang mengalami masalah itu,” katanya memaklumkan Daniel Hakimi lahir ketika usia kandungannya lapan bulan.

Dalam pada itu, Norul Huda berharap pihak sekolah dapat memberikan peluang kepada murid yang mengalami masalah berkenaan untuk mengikuti apa saja aktiviti sama seperti murid normal lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 5:48 AM