Norhayati Nordin


“MAMA nak doakan semoga jodoh anak-anak berkekalan,” kata Fadhillah Nasir iaitu ibu Nur Fazura menerusi klip video yang viral ketika ini.

Fadhillah berkata demikian ketika ditanya oleh perakam video iaitu Sakirin Shak yang juga pengurus Fattah Amin, di Jabal Rahmah, Makkah, pada 15 November lalu.

Biarpun berbaki dua hari lagi Fattah dan Fazura akan pulang ke tanah air, doa itu bagaikan menguatkan lagi spekulasi status mereka yang dikatakan sudah bernikah.

Selain rakaman klip itu, banyak juga foto pasangan selebriti itu di Tanah Suci tersebar di laman sosial termasuk kiriman peminat terserempak dengan mereka.

Antara foto ialah mereka duduk bersebelahan di meja makan, bergambar bersama di Jabal Rahmah termasuk foto berdua di hadapan Masjidil Haram di Makkah.

Biarpun, masih belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kedua-dua pihak, foto yang tersebar bagaikan menceritakan segalanya.

Malah, dalam satu laporan media Ahad lalu yang memetik sumber memberitahu pasangan Fattah dan Fazura memang sudah bernikah.

Mengikut cerita sumber itu, pasangan sejoli itu dinikahkan dalam satu majlis tertutup yang dihadiri keluarga rapat dan kenalan terpilih di kediaman nenek Fazura di Petaling Jaya pada 14 November lalu.

“Fattah dan Fazura sah bergelar suami isteri tepat 12.30 tengah malam. Dengan sekali lafaz. Abang sulung Fazura menjadi wali,” kata sumber itu.

Apapun, sejak Fattah dan Fazura berangkat ke Tanah Suci mengerjakan umrah, rata-rata peminat merestui dan mendoakan kebahagiaan mereka berdua.

Berita berkaitan

23 November nanti kami beritahu [METROTV]

Majlis apa, nikah ke?

'Doa sajalah yang baik-baik...'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 12:30 PM
TERIMA KASIH kepada fazbulouswarriors