Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


DUA kanak-kanak berusia lima dan lapan tahun menjadi mangsa kerakusan jiran apabila dirogol dalam dua kejadian berasingan di Batu 11, Jalan Gambang, Kuantan, 6 November lalu.

Suspek yang berusia 25 tahun dikatakan mengumpan kedua-dua mangsa dengan wang RM2 serta coklat sebelum memujuk mangsa membonceng motosikalnya kononnya mahu bersiar-siar.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, mangsa yang berusia lapan tahun dibawa ke kawasan tangki air Taman Mahkota Aman pada waktu petang sebelum suspek bertindak merogol.

Mungkin tidak puas melampiaskan nafsu, suspek kemudiannya mengumpan mangsa kedua dengan menggunakan kaedah yang sama dan membawanya ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran taman berkenaan.

"Suspek yang masih bujang merogol mangsa yang juga kanak-kanak berusia lima tahun itu di kawasan berkenaan sebelum menghantarnya pulang ke rumah dan berlagak seperti tiada apa yang berlaku.

"Bagaimanapun perlakuan suspek terbongkar selepas kedua-dua mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibu bapa masing-masing," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, hari ini.

Ibu bapa kedua-dua mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading pada hari yang sama.

Sehubungan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD menyerbu rumah pada 8 November lalu dan menahan suspek kira-kira 10.30 malam.

"Ketika serbuan, suspek yang bekerja sebagai kelindan lori baru saja tiba di rumahnya selepas selesai menghantar barang dan kelihatan terkejut serta tidak sempat melarikan diri.

"Berdasarkan semakan kita, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah manakala ujian saringan air kencingnya adalah negatif," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa mengenali suspek dan lelaki berkenaan tinggal bersama ibu bapa serta dua adiknya.

Suspek kini direman sehingga 28 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang mana boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 5:51 PM