GAMBAR kenangan arwah Muhammad Hafizzudin Alias, 11, ketika dirinya masih sihat. IHSAN keluarga
Nor Farhani Che Ad


KANAK-kanak yang menghidap barah otak tahap empat, Muhammad Hafizzudin Alias, 11, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Baru, Sungai Lalang, Sungai Petani, pada 3.55 petang.

Allahyarham menghembuskan nafas di sisi ahli keluarganya selepas mengalami masalah kesukaran untuk bernafas.

Harian Metro ada menyiarkan kisah Muhammad Hafizzudin yang diberi peluang menaiki BMW i8, pada Sabtu, 18 November.

KERATAN laporan arwah Muhammad Hafizzudin Alias dibawa naik BMW i8. FAIL Harian Metro

Arwah dibawa bersiar-siar sekitar Sungai Petani dengan kereta sport mewah itu selepas hajat terakhirnya itu ditunaikan pengedar sah terbesar BMW di Malaysia, Auto Bavaria.

Ibunya Husna Naut, 43, berkata arwah Hafizzudin baru sahaja pulang dari Hospital Sultan Abdul Halim, petang semalam, selepas mengalami demam panas.

“Pihak hospital membenarkan arwah pulang ke rumah selepas empat hari ditahan akibat demam panas.

“Tapi, dia kemudian mengalami kesukaran untuk bernafas sejak pagi Jumaat, akibat masalah kahak sehingga arwah menghembuskan nafas pada sebelah petangnya.

“Arwah meninggal dunia dalam tenang. Sebelum menghembuskan nafas akhirnya, dia sempat menatap wajah kami sekeluarga seolah-olah memberitahu yang dia akan pergi buat selamanya,” katanya.

Husna berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah yang menderita akibat penyakit yang ditanggung sejak berusia tujuh tahun.

Katanya, mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada semua yang pernah memberi sumbangan meringankan beban bagi menanggung kos rawatan arwah anaknya itu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang merealisasikan hasratnya dan mendoakan arwah selama ini,” katanya.

Jenazah akan disemadikan di kampung ibunya di Tualang Pokok Sena, Kedah, kira-kira 11 pagi esok.

Sebelum ini, hasrat arwah untuk kereta mewah berwarna putih tertunai apabila Auto Bavaria membawa murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lalang itu, bersiar-siar menaiki BMW i8.

Dalam kunjungan itu, Auto Bavaria turut menghulurkan sumbangan barang keperluan seperti lampin pakai buang, bijirin, susu, buah-buahan dan kipas selain bantuan wang dan kereta replika BMW i8.

Berita berkaitan

'Nak naik eta putih'...BMW i8 pun sampai

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 6:36 PM