BAS sekolah yang diperiksa dalam gerakan khas. FOTO Rosdan Wahid
BAS sekolah yang diperiksa dalam gerakan khas. FOTO Rosdan Wahid
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Ada pengusaha bas sekolah berani mempertaruhkan nyawa pelajar di tangan pemandu bas yang tidak mempunyai lesen memandu.

Sikap tidak bertanggungjawab itu dikesan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL) melalui Ops Khas Bas di Jalan Tun Razak, Jalan Duta dan dan Jalan Ipoh, semalam.

Hasil pemeriksaan, dua pemandu bas masing-masing dari Puchong dan Selangor menghala pusat bandar berusia 40-an didapati tidak mempunyai lesen memandu sah apatah lagi lesen memandu kenderaan awam (PSV).

Ketua JSPTKL Asisten Komisioner Zulkefly Yahaya berkata, pihaknya terpaksa mengarahkan pemandu bas itu tidak meneruskan tugasnya, sebaliknya ditukar dengan sebuah kenderaan lain yang mempunyai lesen sah.

“Sebuah bas diarahkan untuk menukar pemandu manakala sebuah lagi disita selepas penumpangnya diarahkan berpindah ke bas serta pemandu yang mempunyai dokumen lengkap.

“Kami kecewa dengan perkara ini kerana masih ada pengusaha bas yang berani menggaji mereka yang tiada lesen untuk memandu bas mereka dan tidak mengambil iktibar atas banyak kemalangan bas membabitkan pemandu tiada lesen dan tidak kompeten untuk memandu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, saman dikeluarkan kerana pemandu tiada PSV dan perkara ini akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk tindakan seterusnya.

Menurutnya, dalam operasi yang sama, pihaknya mengarahkan dua pemandu bas yang masing-masing memiliki satu dan dua waran tangkap trafik untuk menjelaskannya dengan segera sebelum meneruskan perjalanan masing - masing.

Katanya, pihaknya turut mengambil tindakan ke atas 11 pemandu lori yang memasuki pusat bandar pada waktu terhad.

“Secara keseluruhan, sebanyak 29 saman dikeluarkan dalam tempoh 7.30 pagi hingga 9.30 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 5:52 AM