KAKA Azraff. FOTO Salhani Ibrahim
Ardini Sophia Sina


Awal kemunculan enam tahun lalu, penyanyi Kaka Azraff yang memperkenalkan diri menerusi lagu duet bersama Zizan Razak, Bawaku Pergi perlahan-lahan mengumpul kelompok peminatnya.

Wanita berusia 28 tahun itu turut membuktikan kemampuannya sebagai penyanyi apabila lagu Bukan Hal Aku turut bersaing pada kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-30 (AJL30), dua tahun lalu.

Bagaimanapun, kerjaya anak saudara kepada Ratu Rock, Ella itu mula teruji apabila pertaruhan dua single baru iaitu Terima Kasih dan Ada Jalannya kurang menjadi.

Bangkit dengan semangat baru, Kaka muncul dengan karya ciptaan The Good Fellas berjudul Kembali. Seiring dengan kedewasaan dalam dunia seni, lagu itu memperlihatkan sisi matang Kaka.

“Setahun ini memang sangat menguji. Saya pernah rasa kecewa sebab perancangan tidak berjalan seperti yang diharapkan. Pernah juga mengalami kesukaran untuk tidur kerana terlalu memikirkan kerjaya.

“Saya berasakan kehadiran saya kurang diterima kerana jarang muncul dengan lagu baru tetapi syukur, masih ada yang bertanya mengapa saya lambat keluarkan lagu baru.

“Situasi itu membuatkan saya berfikir sebenarnya ramai yang ternanti-nanti produk baru. Keluarga, peminat, rakan dan media sentiasa ada untuk memberikan sokongan. Dorongan ini membuatkan saya akhirnya muncul dengan lagu Kembali,” kata pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff.

Kekusutan yang pernah menghantui dirinya diluahkan dalam lagu Kembali. Ia bukan sekadar pemangkin semangat sendiri tetapi juga untuk pendengar yang mungkin berhadapan perkara sama sepertinya.

Melalui onak duri dalam kerjaya, ibu adalah insan utama yang memberikan dorongan untuk terus bertahan. Malahan, orang sekeliling tidak putus-putus menyokong kariernya hinggalah lagu Kembali diterbitkan.

Mengekalkan genre moden pop, Kaka lebih menekankan elemen vokal. Dia lega kerana lagu dan klip muzik mendapat komen positif peminat.


KAKA Azraff. FOTO Salhani Ibrahim

“Lagu ini dihasilkan mengikut perjalanan karier yang semakin dewasa. Saya letak ciri itu dalam setiap lagu walaupun masih mengekalkan genre sama. Alhamdulillah, saya dapat maklum balas positif.

“Secara ringkasnya Kembali adalah berkisarkan semangat baru yang saya bawa untuk terus bertahan dalam industri. Tidak banyak yang saya harapkan, saya cuma inginkan karya saya malar hijau dan tetap relevan sampai bila-bila,” katanya.

Membiarkan pengarah klip muzik berkarya, dia terus menyatakan persetujuan sebaik saja dimaklumkan mengenai konsep yang ingin ditonjolkan dalam video Kembali.

Demi menghidupkan aksi bertarung, Kaka sempat mengikuti tiga kelas dengan seorang ‘fighter’ Muay Thai yang turut beraksi dalam video muzik terbabit.

Kaka turut menzahirkan rasa gembira berikutan kesudian aktor terkenal, Bront Palarae untuk berlakon dalam video muzik Kembali walaupun ketika itu jadualnya padat dengan penggambaran filem Pengabdi Setan.

“Saya peminat Bront dan apabila ditanya hero yang ingin diketengahkan saya terus sebut namanya. Saya sangat berterima kasih kerana dia sudi membantu.

“Bayangkan, dia baru saja tiba di lapangan terbang pada hari penggambaran. Kami terus ambil dia dan bawa ke lokasi dan seterusnya menjalani penggambaran.

“Kerjasama yang diberikan tidak mungkin saya lupa,” katanya.

Bakal muncul dengan album penuh, kata wanita itu, dia sudah merancang untuk memuatkan lapan lagu termasuk empat lagu lama iaitu Terima Kasih, Bukan Hal Aku, Kembali dan Bawaku Pergi.

Bagaimanapun, tidak banyak yang dapat dia kongsikan kerana ia masih di peringkat perancangan dan Kaka masih meneliti material yang bakal dimuatkan dalam buah tangan itu.

“Mungkin album ini akan dilancarkan tahun hadapan. Saya pun tidak tahu kerana saya masih mencari material.

“Apa pun, ramai komposer terbabit dengan projek ini. Saya lebih suka jika album ada pelbagai warna.

“Saya juga mungkin akan cuba menulis lagu sendiri. Sudah tiba masanya. Setakat ini sudah ada draf tetapi merangkak untuk siapkan. Saya tidak menjanjikan lagu ini berjaya disiapkan untuk album tetapi saya sedang berusaha,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 4:00 AM