EVE teruja dengan kejayaan Spotify K-Pop Hub.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Sejak K-Pop Hub dilancarkan di platform muzik Spotify pada 2015, peminat K-Pop seluruh dunia lebih bebas mendengar lagu hit dari Korea Selatan. Menerusi seleksi lagu yang boleh didengar secara percuma di K-Pop Daebak Spotify, ia berjaya membawa genre muzik itu lebih jauh.

Tidak dinafikan, trend muzik K-Pop menguasai pasaran antarabangsa mutakhir ini dan Spotify menyedari perkara itu dari awal lagi. Lantas, akses dibuka kepada lebih 61 negara untuk menikmati lagu dari Korea Selatan dengan lebih mudah menerusi Spotify K-Pop Hub.

Ternyata percaturan syarikat itu tepat memandangkan tiada petanda muzik sebegitu akan merudum. Sebaliknya pengaruh artis K-Pop semakin berleluasa dan memecahkan tembok pasaran dunia.

Menurut Ketua Pasukan Editorial dan Kandungan Spotify Asia, Eve Tan, jumlah pendengar serta masa yang dihabiskan pelayar platform muzik itu bertambah setiap tahun.

“Selepas Gangnam Style nyanyian PSY menjadi fenomena di seluruh dunia pada 2012, K-Pop menjadi subbudaya yang sangat popular. Ditambah pula dengan kuasa media sosial, drama Korea berjaya menakluk Amerika Syarikat (AS), Amerika Latin, Eropah, dan bahagian lain dunia.

“Selepas K-Pop Hub dilancarkan pada 2015, segala lagu baru kami perkenalkan di platform ini untuk pendengar di Filipina, Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Taiwan. Lebih 6.6 bilion pendengar sudah melayarinya.

“Tidak ketinggalan, jumlah pelayar bertambah 63 peratus setiap tahun,” katanya.

Dengan pencapaian itu, pastinya Spotify menjadi platform yang sangat berpengaruh untuk muzik K-Pop. Bukan sahaja sentiasa tampil dengan lagu terkini bahkan platform itu mudah dilayari.

Berikutan kejayaan itu, Eve berkata, setakat ini belum berkesempatan mengadakan konsert besar-besaran untuk pengguna setia Spotify.

“Kami belum adakan konsert K-Pop Hub setakat ini namun pada 9 Ogos lalu kami mengajurkan Spotify on Stage iaitu sebuah acara persembahan muzik secara langsung di sekitar Asia.

“Ia adalah inisiatif kami untuk menghubungkan pendengar setia dengan artis popular. Ia termasuk menerbangkan kumpulan NCT127 untuk menjayakan persembahan di Jakarta, Indonesia,” katanya.

Berbicara mengenai cabaran K-Pop Hub dengan kewujudan saingan platform lain, Eve mengakui teruja dengan pencapaian pihaknya setakat ini.

“Kami sangat bersyukur dengan pencapaian K-Pop Hub. Di Spotify, misi utama kami adalah terus memberikan pendengar kami akses kepada lagu K-Pop terbaik dan terkini.

“Dengan data yang disediakan juga, kami dapat memberi promosi kepada siri jelajah mahupun persembahan akan datang mana-mana artis. Begitu juga dengan pendengar, mereka tidak perlu menunggu lagu mana yang menjadi ‘trend’ memandangkan boleh mendengarnya di Spotify K-Pop Hub,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 10:35 AM