NAD tidak mahu ada orang tengah kerana lebih selesa berbincang terus dengan produksi.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Tiada lagi gosip mahupun kontroversi dikait­kan dengan pelakon berbakat besar Nad Zainal sejak berumah tangga.

Malah, Nad mengakui dia kini lebih matang dan fokus untuk mengatur karier seni selepas sedekad mencanai bakat lakonan.

Pemilik nama sebenar Farah Nadia Zainal Abidin, 30, ini juga bersyukur kerana terus mendapat kepercayaan daripada pengarah dan penerbit drama hingga ke hari ini.

“Alhamdulillah, saya sudah kembali ke lokasi penggambaran progam travelog selepas dua bulan selesai berpantang.

“Selesai program itu, saya terbabit dengan beberapa projek drama iaitu Mengharap Sebuah Keredaan dan Girlfriend Aku Dari Neraka yang sudah ditayangkan di kaca televisyen sebelum ini,” katanya.

Nad berkata, drama bersiri 13 episod terbaru lakonannya iaitu Jurnal Suraya arahan Zul Huzaimy pula kini bersiaran di Slot Zehra di TV3.

“Saya melakonkan watak pesakit leukemia bergandingan dengan Johan A’sari dalam drama bersiri berdasarkan kisah benar itu.

“Selain itu, saya juga ada projek drama baharu arahan Sabri Yunus dan bergandingan dengan Nam Ron pada tahun depan.

“Tidak ketinggalan, saya juga akan melakonkan karakter ustazah yang mengajar kanak-kanak mengaji dalam drama terbaru terbitan Pena Creatives,” katanya.

Bagaimanapun, pemenang trofi Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH 2014 ini mengakui kurang mendapat publisiti daripada media.

“Selepas berkahwin, fokus saya hanya karier seni, bisnes produk Audela dan keluarga.

“Saya juga tiada sebarang kontroversi dan apabila ditemu bual lebih banyak cerita mengenai anak dan perkara berkaitan keluarga,” katanya.

Ditanya mengenai pengurus pula, Nad mengakui dia lebih selesa berdikari menguruskan sendiri karier seni.

“Selain suami, saya tidak mahu ada orang tengah kerana lebih selesa berbincang secara terus dengan produksi mengenai soal bayaran dan sebagainya,” katanya.

Beralih perancangan karier seni, kata pelakon yang tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2017 (drama Mengharap Sebuah Keredaan) ini mengakui mahu bergelar pengarah dan penerbit satu hari nanti.

“Namun, saya belum puas berlakon kerana banyak lagi karakter berat belum saya buat.

“Saya juga lebih memilih watak, skrip dan selesa bekerja dengan produksi yang sudah biasa bekerja.

“Saya juga tiada masalah bekerja dengan bakat baru seperti Fadlan Hazim, Redza Rosli dan Janna Nick.

“Buat masa ini, saya juga ingin menimba ilmu dunia belakang tabir sebelum bergelar pengarah,” katanya.

Bekas penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini turut berjinak-jinak dalam dunia penulisan skrip.

Antara lakonannya ialah Filem Juvana dan drama Dosa Perempuan.

Mahu tiga anak

Selepas selesai menjayakan baki penggambaran projek drama, Nad merancang bercuti panjang bersama keluarga hujung tahun ini.

Menurut Nad, dia dan suami, Muhammad Faliq Amirudin juga ingin membawa anaknya Fahad Ibrahim atau Yem yang kini berusia setahun menikmati musim sejuk di Korea Selatan.

“Saya sudah berehat seketika dari bidang seni pada Oktober lalu.

“Inilah masanya untuk kami meluangkan masa bersama selepas penat bekerja

“Yem juga sudah mula bercakap dan kenal orang sekeliling,” katanya.

Ditanya perancangan menambah anak, kata Nad, dia ingin memiliki tiga cahaya mata sekali gus melengkapkan kebahagian rumah tangganya.

“Berikutan melahirkan anak sulung secara pembedahan, saya dinasihatkan menjarakkan kehamilan sekurang-kurangnya dua tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 10:43 AM