ASFAN. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com


Rezeki buat penyanyi dan komposer, Asfan nampaknya semakin mencurah-curah dalam bidang seni tanah air. Selepas singlenya, Sumpah Cintaku melonjak naik, dia dikurniakan pula cahaya mata ketiga.

“Semua benda berlaku serentak. Walaupun mengejut, saya anggap itu adalah rezeki dan bersyukur dengan apa yang diberikan oleh-Nya,” katanya.

Dalam keadaan isteri masih berpantang, Asfan yang sibuk mempromosikan singlenya terpaksa membawa dua anaknya ketika bekerja.

“Anak memang manja dengan saya. Selalunya, isteri saya akan temankan saya kalau ada apa-apa acara atau kerja.

“Sekarang, dia masih berpantang dan saya perlu membawa kedua-dua anak, Ali Haytham Shah serta Ali Wakeel Shah kalau menghadiri sesi fotografi dan sebagainya,” katanya.

Sebagai bapa, dia melupakan sebentar rasa penat dan tahu tanggungjawabnya.

“Saya perlu ketepikan rasa penat. Kadang-kadang, kedua-dua anak nak saya dukung serentak. Ketika hadir pada sesi fotografi pun, perlu pujuk supaya mereka bagi saya habiskan kerja dulu,” katanya.

Karya masih diterima

Walaupun kini industri muzik tanah air dipenuhi dengan karya daripada penyanyi muda, ia tidak pernah mematahkan semangat Asfan untuk terus berjuang.

“Pada ketika ini, nama penyanyi muda itu yang mendapat tempat. Apabila dapat ‘mencelah’ dalam kalangan mereka, itu membuatkan saya bersyukur kerana ada peluang.

“Apabila Sumpah Cintaku diangkat sebagai OST drama Titian Cinta baru-baru ini, bertambah semangat saya untuk bekerja keras dalam muzik,” katanya.

Terbaru, Asfan kini dalam proses menyiapkan albumnya dan akan dilancarkan menjelang Januari tahun depan.

“Kalau semuanya berjalan lancar mengikut perancangan, ia akan dilancarkan pada Januari. Sepatutnya, ia sudah disiapkan lebih awal, tapi memandangkan ada beberapa hal lain, ia terpaksa ditunda,” katanya.

Ditanya perancangan masa depannya, Asfan merancang mengadakan showcase akustik.

“Mengikut perancangan, ia akan berlangsung pada Disember. Bukanlah satu ‘showcase’ berskala besar, tapi ini adalah persembahan sebagai penghargaan kepada peminat.

“Saya masih memilih tarikh dan lokasi yang sesuai. Insya-Allah, saya akan persembahkan rangkaian 14 lagu yang pernah menjadi OST drama yang dinyanyikan oleh saya dan cipta untuk penyanyi lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 4:42 AM