Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


KANAK-kanak berusia 12 tahun dan remaja 16 tahun yang terbabit dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kanak-Kanak hari ini daripada pertuduhan memasukkan dadah dalam badan, September lalu.

Majistret Zilfinaz Abbas memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka menarik balik kes berkenaan ke atas kedua-dua tertuduh berikutan laporan patologi yang dikeluarkan Makmal Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan keputusan negatif.

Peguam bela, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin yang mewakili kanak-kanak 12 tahun ketika ditemui selepas tamat prosiding berkata, anak guamnya dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah selepas laporan patologi menunjukkan tertuduh bebas daripada pengaruh dadah.

"Keluarga (tertuduh) sangat bersyukur kerana kanak-kanak itu terlalu muda dan tidak terbabit secara langsung," katanya.

Bagaimanapun tertuduh berusia 16 tahun itu tidak boleh dibebaskan kerana mempunyai satu lagi pertuduhan iaitu membunuh di mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 5 Januari ini bagi sebutan semula kes membabitkan seorang lagi tertuduh berusia 16 tahun selepas remaja itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Bagi dua beradik berusia 16 dan 17 tahun yang mengaku salah atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, mahkamah menetapkan petang ini untuk jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memasukkan dua jenis dadah iaitu ganja dan syabu ke dalam badan di tandas Pejabat D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada 11.35 pagi, 16 September lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta perintah pengawasan polis selama dua tahun.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan 3 Januari ini untuk sebutan semula kes bunuh membabitkan dua remaja berusia 16 tahun yang didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 mangsa antara 4.15 dan 6.45 pagi pada 14 September lalu di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail serta Nurakmal Farhan Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 2:27 PM