Elyana hidap kanser limfoma. FOTO Arkib NSTP.
Elyana hidap kanser limfoma. FOTO Arkib NSTP.
Rudy Imran Shamsudin


PENYANYI Elyana, 30, menafikan membuat pengumuman mengenai penyakit kanser limfoma yang dihidapi hampir tujuh tahun untuk meraih simpati.

Katanya, jika mahu meraih simpati perkara itu pasti dilakukan sebaik saja disahkan doktor dirinya mengidap kanser selepas kelahiran anaknya, Cinta Sumayyah.

“Kalau saya ingin menagih simpati, dari awal dulu saya melakukannya. Ketika itu saya susah, tidak ada duit untuk membeli ubat dan susu anak.

“Tapi saya tidak pernah berkongsi semua masalah itu dengan sesiapa termasuk ibu bapa dan adik-beradik.

“Sudah menjadi prinsip hidup saya tidak suka menyusahkan orang. Saya mahu orang melihat saya sebagaimana diri saya yang sihat, degil, ceria, tiada masalah dan suka berjenaka,” katanya.

Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal berkongsi mengenai penyakit dihidapi sebaik saja diumumkan tersingkir dari program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Ahad lalu.

Peminat turut mewujudkan tanda pagar khas buat penyanyi yang popular dengan lagu Kalis Rindu itu seperti #prayforelyana (doa untuk Elyana) dan #fightlikeelyana (cekal seperti Elyana).

Kata Elyana, dia terharu dengan doa dan ucapan dari masyarakat. Lebih membuatkan penyanyi yang popular dengan lagu Tak Tercapai Akal itu apabila ada yang menjadikanya sumber inspirasi.

“Saya bersyukur kerana perkongsian dengan niat mahu menjelaskan situasi yang berlaku sebelum ini mendapat impak positif.

“Tidak sangka dalam situasi sekarang, saya masih boleh menjadi sumber inspirasi kepada banyak orang.

“Kalau benar itu situasinya, saya adalah manusia paling gembira kerana dari dulu hidup saya memang suka menggembirakan orang,” katanya.

Mengenai penerimaan keluarga sebaik membuat pengumuman terbuka itu, Elyana akui keluarga tidak pernah menghalang.

“Mereka kenal siapa saya. Tambah pula sejak kecil saya sudah dididik tidak berbohong.

“Selama enam tahun ini saya letih menyembunyikan kesakitan yang saya hadapi. Selepas berkongsi dengan umum, saya berasakan sebahagian beban di bahu sudah hilang dan saya bertambah positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 5:46 PM