SHALIN-Li Jane rangkul tempat kedua di Kejohanan Bowling Dunia. FOTO Facebook Shalin Zulkifli
Fabian Peter

Kuala Lumpur: Malaysia meraih pingat perak beregu wanita menerusi gandingan Shalin Zulkifli-Sin Li Jane pada Kejohanan Bowling Dunia di Las Vegas, awal pagi semalam.

Gandingan negara itu terlebih dahulu melayakkan diri pada pusingan separuh akhir selepas melakukan balingan cemerlang dengan 2,575 jatuhan pin menerusi enam permainan.

Hanya empat gandingan terbaik melayakkan diri ke pusingan seterusnya di South Point Bowling Plaza.

Dalam saingan empat terakhir, Shalin-Li Jane menundukkan gandingan Amerika Syarikat, Josie Barnes-Shannon O’Keefe 363-334 untuk meneruskan langkah ke final bertemu pasangan Korea Selatan, Jung Dawun-Kim Jeong Moon.

Terdahulu, beregu Korea Selatan itu menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Danielle McEwan-Kelly Kulick 427-414 dalam satu lagi separuh akhir.

Shalin-Li Jane bagaimanapun gagal menyekat kemaraan gandingan Korea Selatan itu untuk membawa pulang perak selepas ketinggalan 454-397.

“Saya sangat gembira dengan pencapaian keseluruhan pemain, bukan sekadar pemenang perak.

“Kami di landasan yang terbaik untuk persediaan ke Sukan Asia (Jakarta).

“Bagaimanapun, selain Korea Selatan, Jepun juga sangat kuat dan mereka semakin baik,” kata ketua jurulatih negara, Holloway Cheah.

Dua lagi pasangan negara, Natasha Roslan-Syaidatul Afifah Badrul Hamidi (2,446 jatuhan pin) dan Esther Cheah-Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (2,382 jatuhan pin) masing-masing menduduki tempat ke-10 dan 22.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 5:37 AM