MOHD Fazil menarik kerbau peliharaannya untuk dibawa ke tempat yang lebih selamat. FOTO Ghazali Kori
Nazdy Harun
am@hmetro.com.my


Kuala Berang : Sikap berperikemanusiaan ditunjukkan seorang pemuda di Kampung Paloh Nyor di sini, terhadap haiwan peliharaannya apabila sanggup meredah sungai dan banjir bagi memastikan keselamatan ternakan itu yang ditempatkan di satu kawasan berbukit.

Mohd Fazil Abdul Rahman, 27, berkata, dia mula memelihara kerbau dan lembu sejak di bangku sekolah rendah kerana minat selepas melihat ayahnya, Abdul Rahman Abdullah, 62, berbuat demikian.

Menurutnya, dia bersama ayah dan abangnya kini mempunyai empat kerbau dan 20 lembu, tetapi apabila tiba musim tengkujuh dia akan menempatkan haiwan itu di bukit yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.

“Sebahagian lembu ditempatkan di tiga kandang di belakang rumah manakala selebihnya sememangnya ditempatkan di kandang di kawasan bukit dalam kebun kelapa sawit milik keluarga.

“Untuk ke bukit berkenaan saya, abang atau ayah perlu menyeberangi sungai bagi menghantar makanan seperti rumput atau dedak kepada haiwan bekenaan berikutan kandang kerbau dan lembu berdekatan rumah dinaiki air sedalam 0.5 hingga satu meter.

“Walaupun perlu meredah banjir dan sungai yang arusnya deras tetapi tugas itu perlu dilakukan sebaik mungkin bagi mengelak haiwan terbabit kelaparan,” katanya.

Menurutnya, beberapa lembu dan seekor kerbau tidak dibawa ke bukit dan ditempatkan di belakang rumahnya, tetapi dia terpaksa memasang bumbung sementara bagi mengelak haiwan itu terkena hujan dan kesejukan.

Mohd Fazil berkata, stok 500 kilogram makanan lembu dan kerbau perlu disimpan dan setiap hari dua atau tiga kali akan menyeberangi sungai untuk ke bukit tetapi banjir yang melanda menyukarkan pergerakan mereka untuk menyeberanginya.

“Saya anggarkan nilai lembu itu kesemuanya berjumlah RM40,000 manakala kerbau pula kira-kira RM12,000 dan perlu dijaga dengan baik sama ada pada musim tengkujuh atau tidak kerana ia adalah sumber pendapatan saya dan keluarga,” katanya.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 6:26 AM