Siti Fatimah Nasir
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Selepas 12 tahun menanti zuriat perempuan, seorang ibu kini terpaksa reda apabila satu-satunya anak yang dilahirkan pada September lalu menghidap penyakit jantung kronik yang memerlukan pembedahan segera.

Sharifah Juliana Syed Akhir, 36, dari Manir, Terengganu berkata, anaknya Sharifah Husna Qaisara Syed Hassan Farid berusia dua bulan kini dikesan mempunyai jantung berlubang (VSD) sebaik dilahirkan serta berdepan saluran darah tidak normal atau dikenali sebagai truncus arteriosus.

Bagi membetulkan saluran injap tersumbat berkenaan, dia memerlukan RM80,000 bagi membiayai kos pembedahan.

Beliau berkata, dia dan suami, Syed Hassan Farid Syed Fadzil, 38, buntu mencari wang sebanyak itu bagi menanggung kos pembedahan berikutan dia tidak bekerja manakala suami hanya bekerja sebagai penyelia di tapak bangunan.

“Sepanjang mengandung, doktor tidak mengesyaki anak bongsu saya mengalami sebarang masalah tetapi selepas hari ketiga melahirkannya, baru doktor mengenal pasti anak saya menghidap penyakit jantung kronik yang luar biasa hingga mengeluarkan bunyi aneh pada bahagian jantungnya.

“Sejak itu, anak saya ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) kerana tidak mampu bernafas secara semula jadi dan perlu bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, di sini, semalam.


SHARIFAH Husna Qaisara ditemani ibu dan bapanya. FOTO Halim Salleh

Menurutnya, sejurus anaknya disahkan menghidap penyakit jantung kronik itu, nyawa anaknya tidak boleh bertahan lama jika tidak dibedah segera.

“Hanya pembedahan saja peluang anak saya untuk meneruskan kehidupan kerana kini dia hanya disokong mesin oksigen untuk bernafas.

“Kini, saya hanya mampu berdoa dan berharap anak dapat menjalani pembedahan segera supaya dia boleh menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Nasib sama turut menimpa Yean Fook Yen, 56, yang risau dengan keadaan anak bongsunya, Yean Wen Yee, berusia tujuh tahun yang turut menghidap jantung berlubang dan masalah saluran injap terbalik.

Menurut Yean, anaknya menjalani pembedahan sebanyak dua kali sebelum ini.

“Pembedahan pertama dibuat ketika anak berusia setahun dan kini doktor yang merawatnya berkata, anak perlu menjalani pembedahan ketiga di mana saluran jantungnya semakin kembang dan perlukan pembedahan segera.

“Oleh itu, doktor mengesyorkan kami melakukan pembedahan ketiga secepat mungkin yang dijadual pada Disember ini atau awal tahun hadapan,” katanya.

Yean yang menetap di Kluang, Johor, berkata, dia memerlukan RM70,000 bagi menampung kos pembedahan kali ketiga pada jantung anaknya itu.


YEAN Wen Yee (tengah) menghidap penyakit jantung berlubang dan masalah injab jantung terbalik bersama kedua ibubapanya. FOTO Halim Salleh

“Walaupun anak saya kini aktif, namun dia tidak boleh melakukan aktiviti lasak termasuk bersukan kerana risau dia akan mengalami sesak nafas dan lemah badan.

“Dengan pembedahan ini, saya berharap Yean Wen kembali sihat dan mampu menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Kedua-dua keluarga ini memerlukan bantuan orang ramai dengan menyalurkan sumbangan ke tabung MEDIA PRIMA-NSTP HUMANITARIAN FUND di akaun Maybank 514105323170.

Cek juga boleh dihantar ke alamat Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atas nama pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 9:50 AM