Syazwan Msar


POLIS melepaskan sembilan das tembakan dalam usaha mempertahankan diri selepas seorang suspek melanggar kereta peronda di Jalan PJS 5, Taman Medan, pagi tadi.

Kejadian 4.30 pagi itu berlaku apabila anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak dengan suspek yang memandu Proton Persona dalam keadaan mencurigakan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, anggota meminta lelaki berkenaan berhenti bagi melakukan pemeriksaan namun suspek enggan memberikan kerjasama sebelum melarikan diri.

"Anggota meminta kerjasama unit peronda lain untuk mengejar suspek sehingga ke Jalan PJS 5.

"Kemuncaknya dia bertindak nekad melanggar sebuah kereta peronda berulang kali menyebabkan anggota polis terpaksa tembakan untuk mempertahankan diri," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO, hari ini.

Mazlan berkata, berikutan tembakan itu, suspek berusia lingkungan 30 tahun melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya manakala anggota polis tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Polis sedang giat memburu suspek termasuk meminta bantuan unit forensik bagi melakukan siasatan terhadap kenderaan milik lelaki berkenaan.

“Pada masa sama, polis juga akan melakukan siasatan bagi mengetahui motif sebenar lelaki itu bertindak demikian hingga berani melanggar kereta peronda,” katanya.

Oleh itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 2:47 PM
Rakaman video anggota polis melepaskan tembakan selepas penjenayah melanggar kereta peronda. FOTO ihsan Shahril Imran