Petikan video yang disiarkan Beijing News menunjukkan remaja 14 tahun memukul ibunya di Guangdong, China.
Agensi

RAKAMAN video seorang budak lelaki 14 tahun membelasah ibunya yang mengalami masalah mental baru-baru ini, menggemparkan China.

Dalam rakaman yang disiarkan Beijing News itu, remaja berkenaan yang berpakaian sekolah dikatakan menyerang ibunya di satu lorong di Zhaoqing, wilayah Guangdong.

Dia dilihat menolak ibunya ke tembok dan mengangkat serta menghentak basikal kepada wanita malang itu sebelum memukul dan menendang kaki ibunya.

Guangzhou Daily melaporkan wanita berkenaan menghadapi masalah percakapan dan berjalan menggunakan tongkat selepas menghidap Schizophrenia, iaitu masalah mental yang menghalang penghidapnya membezakan antara realiti dengan tidak.

Menurut laporan itu, wanita berkenaan sentiasa mengekori anaknya itu sejak 2015.

Pertubuhan kebajikan tempatan menyatakan remaja berkenaan tinggal bersama ibunya selepas bapanya meninggal dunia akibat kemalangan pada 2008.

Remaja itu dikatakan memukul ibunya kerana malu dengan tindakan wanita terbabit yang sering mengikutnya namun wanita itu memberitahu pekerja pertubuhan kebajikan, anaknya marah kerana dia tidak memberi wang saku.

Rakaman itu tular di Weibo (Twitter versi China) dan pengguna berjaya mengesan nama serta alamat remaja berkenaan.

Menurut Guangzhou Daily, orang ramai berkumpul di depan rumahnya sejak 11 pagi pada 25 November lalu.

Guru di sekolahnya memberitahu, remaja itu menghadapi tekanan perasaan dengan masalah ibunya dan mereka sudah memberi kaunseling kepada remaja itu namun tidak berkesan.

Menurut gurunya, remaja itu tinggal di sekolah kerana tidak berani pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan,

Pihak sekolah sudah menghantar laporan kepada jabatan pendidikan serta agensi lain meminta bantuan untuk remaja itu dan ibunya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 7:37 PM