SAFIYAH (tiga dari kanan) bersama skuad bowling wanita negara di Kejohanan Dunia di AS. FOTO Facebook Safiyah
Fadhli Ishak

Kuala Lumpur: Bekas juara Master Dunia, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman meraih pingat perak dalam saingan all event, sekali gus membantu pasukan bowling wanita negara raih gangsa Kejohanan Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS), kelmarin.

Dalam acara perseorangan, Safiyah mencatatkan 1,243 jatuhan pin, acara beregu (1212), trio (1,274) dan berpasukan (1,319) untuk mengumpul 5,048 jatuhan pin keseluruhan.

Pemain tuan rumah, Danielle McEwan memastikan pingat emas menerusi 5,126 jatuhan pin manakala Tsai Hsin-Yi dari (Taiwan) ketiga, 5,017 jatuhan pin.

Kejayaan itu menambah koleksi pingat dimenangi Safiyah di Kejohanan Dunia selepas turut memenangi gangsa dalam acara berpasukan pada penyertaan 2013, juga berlangsung di AS.

Kali terakhir pemain negara memenangi pingat dalam acara all event adalah menerusi Shalin Zulkifli pada 1999 di Abu Dhabi.

“Saya cukup gembira untuk memenangi pingat dan kejayaan dalam saingan all event membuktikan anda adalah salah seorang pemain yang berjaya mengekalkan konsisten.

“Saya tahu yang saya berpeluang memenangi pingat dalam acara all event namun secara jujurnya saya fokus untuk bantu pasukan kerana saya mahu semua orang memenangi pingat,” kata pemain 27 tahun itu.

Safiyah menjadi atlet Malaysia pertama memenangi Jelajah Persatuan Bowling Wanita Profesional (PWBA) apabila mengungguli Terbuka Wichita pada Jun lalu.

Prestasi cemerlangnya kelmarin turut membantu pasukan negara melangkah ke separuh akhir acara berpasukan, sekali gus mengesahkan sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Selain Safiyah, pasukan negara yang dibarisi Esther Cheah, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Shalin mengumpul 6,167 jatuhan pin keseluruhan untuk bertemu Colombia (6,167) pada separuh akhir hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 7:11 AM