PEMAIN negara, Hanafiah (kanan) melakukan libasan ketika Malaysia menentang Laos pada aksi sepak takraw regu lelaki Sukan SEA KL2017. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Pengurus sepak takraw lelaki negara, Yusoff Ali menolak andaian pihaknya tidak telus dalam menyenaraikan pemain ke saingan Piala Raja Thailand yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 17 Disember ini.

Tegasnya, ada beberapa pemain yang tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya dalam menghadapi kejohanan di Bangkok itu dan atas sebab itulah nama mereka tidak disenaraikan.

Antara yang mencuri perhatian adalah ketiadaan perejam terbaik Liga Sepak Takraw (STL), Muhammad Fadzil Mustafa yang mewakili Perak Bison, serta pengumpan terbaik dari Kelantan Warriors, Aidil Aiman Azwawi.

“Sebenarnya Fadzil sendiri meminta diberikan ruang untuk tidak disenaraikan kali ini kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan akibat kemalangan.

“Berdasarkan prestasinya, kami memang memerlukan khidmatnya, namun kami turut perlu menghormati permintaannya,” jelas Yusoff yang juga Penolong Setiausaha II Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).


TEKONG negara, Syahir (tengah) melakukan servis ketika Sukan SEA KL2017 ke-29 di Stadium Titiwangsa. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Fadzil yang turut dinobatkan perejam terbaik bagi saingan Piala Juara-Juara STL, mengalami kemalangan jalan raya pada Jun lalu, selain turut terlepas aksi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada Ogos lalu.

Manakala, bagi situasi membabitkan Aidil Aiman, Yusoff menjelaskan pemain berusia 20 tahun itu masih belum melaporkan diri bersama skuad kebangsaan yang sudah menjalani latihan beberapa hari lalu.

“Jadi namanya tiada dalam senarai 12 pemain ke Bangkok,” katanya.

Semalam, PSM mengumumkan senarai 12 pemain ke Bangkok – diketuai tekong utama, Muhammad Syahir Rosdi serta pemain berpengalaman seperti Mohd Hanapiah Dolah, Farhan Adam dan Mohd Syazreenqamar Salehan.

Skuad bimbingan Abd Talib Ahmad itu dijadual menyertai acara berpasukan regu, antara regu dan beregu pada edisi ke-32 kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 8:19 AM