Nabihah Kamal
nabihah.kamal@hmetro.com.my

 

"Saya lega dapat bantu. Saya bukan doktor atau jururawat tetapi ada sedikit ilmu pertolongan cemas yang saya pelajari beberapa tahun lalu," kata kakitangan awam, Rose Afdayanti Nasir, 36, yang tular di laman sosial selepas membantu bayi perempuan berusia enam bulan yang terbabit kemalangan di Lebuhraya Timur Barat Gerik - Jeli, Jumaat lalu.

 Wanita berhati mulia itu berkata, dia dalam perjalanan dari Lumut, Perak menghantar adik perempuannya Siti Fatihah Nasir, 31, yang berkursus ke rumah ibu mereka di Kota Bharu, Kelantan.

 Katanya, dia tiba di tempat kejadian kira-kira 11.30 pagi.

 "Saya lihat orang ramai memegang bayi yang berlumuran darah dipercayai tercampak dari Perodua Alza. Ketika itu ibu bapa bayi berkenaan cedera dan terbaring di jalan membuatkan saya segera memberi bantuan kecemasan kepada bayi itu.

 "Keadaan sesak apabila kereta Perodua Alza itu dalam keadaan melintang menghalang jalan menyebabkan saya berhenti di bahu jalan dengan niat untuk membantu. Saya bawa sekali tuala bersama saya kerana berniat untuk memberi bantuan kecemasan," katanya.

 Rose Afdayanti berkata, kebetulan ada penuntut kolej perubatan yang mempunyai kelengkapan bantuan kecemasan di lokasi.

 "Saya pinjam alat mereka (penuntut kolej perubatan) dan memakai sarung tangan serta cuci luka sebelum balut kepala bayi dengan menggunakan pembalut luka.

 "Ketika itu muka dan bibir bayi itu dah mula biru menyebabkan saya berlari ke arah ibu mangsa yang terbaring di atas jalan dan meminta kebenaran untuk membawa bayinya ke hospital," katanya yang sudah membantu mangsa kemalangan buat kali ketiga.

 Menurutnya, ibu bayi berkenaan membenarkan dia membawa bayinya ke hospital namun meminta untuk menyusukan bayinya itu.

 "Saya minta dia (ibu bayi) supaya tidak menyusukan bayinya kerana bayi itu sangat lemah. Saya dan adik membawa bayi itu ke wad kecemasan di HUSM (Hospital Universiti Sains Malaysia) Kubang Kerian, Kota Bharu," katanya.

 Rose Afdayanti berkata, sepanjang perjalanan dia hanya mampu berdoa supaya dapat selamatkan nyawa bayi itu.

 "Saya berzikir dan adik terpaksa hon sepanjang jalan untuk meminta laluan ketika dalam perjalanan ke hospital.

 "Setiba di hospital, doktor memberi rawatan kecemasan dan Alhamdulillah dia berjaya diselamatkan," katanya.

 Menurutnya, selepas kejadian itu, dia berjumpa semula ibu bapa dan bayi berkenaan yang semakin pulih daripada kecederaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 10:30 PM
Rose mendukung bayi terbabit kemalangan yang dibantunya Jumaat lalu.