Remaja diikat pada pokok selepas ditahan ketika cuba mencuri bot fiber penduduk. FOTO ihsan pembaca.
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


REMAJA, 18, diikat pada pokok di Kampung Jubakar Pantai, Tumpat, Kelantan semalam, selepas cubaannya untuk mencuri sebuah bot fiber milik penduduk dipatahkan.

Kejadian berlaku 2.30 petang di bangsal yang menempatkan bot milik Rahim Yusoff, 54.

Rahim yang juga nelayan berkata, ketika kejadian, dia berada di rumahnya yang terletak kira-kira 400 meter daripada bangsal itu.

“Bot memang diletakkan dekat bangsal untuk memudahkan pergerakan. Saya terkejut apabila dimaklumkan penduduk ada individu mahu mencurinya.

“Saya segera ke lokasi dan tiba di situ, saya dan beberapa penduduk mendapati remaja itu cuba memecahkan kunci mangga pada pengikat enjin.

“Dengan bantuan penduduk, kami mengepung sebelum menangkapnya. Remaja itu diikat pada pokok sebelum polis tiba beberapa minit kemudian dan membawanya ke balai,” katanya ditemui hari ini.

Menurutnya, bot itu sumbangan kerajaan menerusi bantuan e-Kasih dan satu-satunya bot yang digunakannya untuk mencari rezeki.

“Syukur saya kunci dengan baik. Jika sebaliknya, ia mungkin sudah dicuri dan pasti sukar untuk saya mencari rezeki,” katanya.

Gambar remaja itu yang diikat pada pokok juga tular di laman sosial Facebook.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud mengesahkan kejadian terbabit.

“Suspek direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 5:21 PM