NAD Zainal. FOTO Aziah Azmee
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


Berehat dua bulan selepas melahirkan anak sulungnya, pelakon Nad Zainal kekal relevan dalam industri seni tanah air. Setiap lakonannya masih memberikan impak besar kepada penonton.

Dua bulan selesai berpantang selepas melahirkan anak sulungnya, pemilik nama sebenar, Farah Nadia Zainal Abidin, 30, itu kembali ke lokasi penggambaran untuk program travelog.

Nad sering diberikan kepercayaan untuk melakonkan watak yang mampu menyentuh jiwa penonton. Baru-baru ini, wanita itu berlakon dalam telefilem Fatonah Azali menghiasi slot Cerekarama TV3.

Tidak ada siapa yang dapat menafikan bakat besar pelakon itu. Penjiwaannya pasti membuai hati penonton dan membawa mereka bersama untuk menangis simpati pada karakter dilakonkannya.

Bagaimanapun, lakonannya sebagai Nelly dalam rantaian Girlfriend Aku Dari Neraka membuatkan ramai yang mula memanggilnya dengan nama itu. Karakter wanita ‘bimbo’ dan sedikit psiko itu menambat hati penonton termasuk golongan remaja.

“Saya berasa agak kelakar juga kerana punyalah penat saya menangis untuk watak berat sebelum ini tetapi tidak ada pula yang panggil dengan nama karakter berkenaan.

“Tetapi apabila memegang watak Nelly dalam Girlfriend Aku Dari Neraka, ramai yang memanggil saya dengan nama itu. Mereka siap rakam video dan minta saya lakonkan sedikit karakter Nelly.

“Saya tidak jangka situasi seperti ini berlaku. Apa pun, saya gembira kerana lakonan saya sebagai wanita bimbo dan psiko diterima baik penonton,” katanya.

Walaupun Nelly adalah watak baru yang diwujudkan dalam drama Girlfriend Aku Dari Neraka selepas tayangan telefilem dengan judul sama, kehadiran Nad tetap disedari penonton.

Bagaimanapun, Nad buat sementara waktu tidak akan menerima mana-mana watak yang sama seperti Nelly. Dia ingin kembali pada karakter berat yang selalu dilakonkannya sebelum ini.

“Kalau saya terima watak untuk berlakon dalam watak komedi pun mungkin bukan lagi watak bimbo. Biarlah Nelly dengan karakternya yang bimbo dan psiko dan saya cuba karakter komedi yang lari daripada Nelly,” katanya.

Tidak hanya berlakon, pelakon yang pernah menggondol Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2015 itu turut memasang impian untuk bergelar pengarah dan penerbit satu hari nanti.

Namun Nad mengakui dia masih belum puas berlakon kerana masih banyak watak yang belum diterokainya. Dia kini lebih memilih watak dan skrip sebagai persiapan untuk duduk di belakang tabir sesebuah karya.

Kongsi Nad, ketika menjalani penggambaran drama Girlfriend Aku Dari Neraka, pada masa sama dia juga mempunyai komitmen dengan telefilem Fatonah Azali.

Bukan mudah mengubah karakter santai sebagai Nelly menjadi Tonah iaitu karakter dalam Fatonah Azali yang menghidap autisme. Apatah lagi rakan gandingannya daripada drama itu, Sharifah Sakinah turut berlakon dalam cerekarama berkenaan.

“Sepanjang penggambaran dalam Fatonah Azali, saya dan Sakinah memang tidak bercakap kerana masing-masing ingin lari daripada watak dalam Girlfriend Aku Dari Neraka.

“Kalau mahu main-main biarlah di lokasi Girlfriend Aku Dari Neraka sebab naskhah itu pun santai dan komedi sedangkan dalam Fatonah Azali, saya membawakan watak berat. Harus serius bagi memudahkan saya menghayati watak berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 3:12 AM