KEMALANGAN membabitkan sebuah lori dengan empat kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong yang mengakibatkan tiga maut di tempat kejadian. FOTO Muhaizan Yahya dan Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


POLIS mengesahkan mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan empat kenderaan di Jalan Kuala Kangsar- Gerik berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong, 11 pagi hari ini adalah tiga beradik.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai dua beradik kembar berlainan jantina iaitu Muhammad Hanif Ismail dan Nur Ain Hanifah berusia lapan tahun dan kakak mereka Nur Ain Hafizah, 22.

Difahamkan, bapa serta ibu mereka iaitu Ismail Yaacob, 53, dan Zarina Yong, 44, parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Taiping manakala seorang lagi adik beradik mereka Nur Ain Harizah, 13, cedera.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Mat Isa berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah treler membawa sisa ikan dan empat kenderaan iaitu Nissan Grand Livina, Honda HRV, Toyota Hilux dan Nissan Sentra yang berhenti di lampu isyarat merah.

Katanya, tiga yang maut adalah dari Honda HRV manakala terdapat dua lagi mangsa menaiki Nissan Grand Livina cedera.

"Siasatan awal mendapati treler berkenaan dari arah Gerik ke Kuala Kangsar dipercayai mempunyai masalah brek dan melanggar keempat-empat kenderaan itu yang berhenti di lampu isyarat simpang empat MRSM Lenggong.

"Tiga mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ismai berkata, keluarga itu dipercayai dari Terengganu menghala ke Kuala Kangsar untuk bercuti.

Berita berkaitan:

Tiga maut kemalangan tiga kenderaan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 5:49 PM