Gambar kiri, Zainun dan gambar kanan, Ismail Yaacob, 53, dan isterinya Zarina Yong, 44, cedera manakala tiga anaknya termasuk sepasang kembar terbunuh. Seorang lagi anaknya cedera. - Foto Rosli Ilham/Ihsan Pembaca
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


“SAYA hampir pengsan apabila mendapat tahu kembar berkenaan dan kakak mereka meninggal dunia dalam kemalangan," kata Zainun Mohamad, 44, dari Kampung Balai Besar, Dungun.

Zainun adalah jiran keluarga tiga beradik yang terkorban dalam kemalangan membabitkan treler dan empat kenderaan di Jalan Kuala Kangsar- Gerik berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong, pagi semalam.

Menurutnya, kali terakhir dia melihat dua kembar, Muhammad Hanif Ismail dan Nur Ain Hanifah yang berusia lapan tahun itu, ketika mereka bermain hujan di halaman rumah, Rabu lalu.

“Saya nampak keluarga itu pada Rabu lalu, dan mereka beritahu nak ke Kedah menjemput anak perempuan mereka (Nur Ain Hafizah, 22) yang menjalani latihan amali di sana,” katanya yang ditemui di rumahnya, malam tadi.

Nur Ain turut maut dalam kemalangan itu.

Zainun percaya kemalangan itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang.

Menurutnya, dia dan suami rapat dengan keluarga itu dan menganggap kembar serta kakak mereka seperti anak sendiri.

“Saya menyuapkan nasi ke mulut kembar itu ketika mereka masih kecil,” katanya menahan sebak.

Menurutnya, hampir setiap hari mereka datang ke rumahnya.

“Kami berjiran dengan ibu bapa mereka, Ismail Yaacub, 53, dan isterinya Zarina Yong, 44, sejak 21 tahun lalu.

“Mereka baru saja mengadakan majlis pernikahan kedua-dua anak lelaki mereka.

“Seorang menantu mereka berasal dari Baling, mungkin turut berkunjung ke rumah besan di sana,” katanya.

Berita berkaitan:

Nampak treler seret Nissan Sentra [UPDATE]

[UPDATE] Pasangan kembar antara yang maut

Tiga maut kemalangan tiga kenderaan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 12:37 AM