SEORANG kanak-kanak menangis ketika menerima suntikan vaksin difteria di sebuah klinik di Jakarta semalam. - AFP

JAKARTA: Lebih lapan juta kanak-kanak di negara ini bakal menerima suntikan vaksin difteria dalam usaha kerajaan membendung wabak itu yang sudah mengorbankan puluhan nyawa.

Antara gejala difteria yang berpunca daripada jangkitan bakteria itu ialah sesak nafas, kegagalan jantung, kelumpuhan dan kematian jika tidak dirawat segera.

Penularan penyakit berjangkit itu dianggap jarang berlaku di Indonesia, walaupun ia mencatatkan kadar kes kedua tertinggi di dunia dari 2011 hingga 2015 selepas India, berdasarkan data dikumpul Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Sepanjang tahun ini, hampir 600 kes dilaporkan di 20 wilayah di seluruh Indonesia dan daripada jumlah itu, 32 kes membabitkan kematian.

“Program vaksinasi bermula hari ini (semalam) di tiga wilayah yang mempunyai jumlah penduduk paling tinggi, termasuk Jakarta dan ia diteruskan hingga bulan depan.

“Peningkatan kes difteria dipercayai berpunca daripada kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat, selain kempen antivaksin yang semakin menular di negara ini,” kata pegawai kanan Kementerian Kesihatan, Jane Soepardi. - AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 6:40 AM