Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


POLIS membuka kertas siasatan berhubung kejadian kanak-kanak berusia lapan tahun, Puteri Intan Sharini Mohd Hishamuddin yang maut tertembak senapang patah di Kampung Empa, Mukim Derang, Pokok Sena hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner, Mohd Rozi Jidin dalam satu kenyataan ringkas kepada media berkata, ia adalah berikutan penahanan remaja berusia 15 tahun yang juga sepupu kepada mangsa.

“Berdasarkan rakaman percakapan seorang daripada penghuni rumah berkenaan yang juga sepupu mangsa berusia enam tahun, dia memberitahu bahawa sebenarnya abangnya yang berusia 15 tahun itu yang menembak mangsa menggunakan senapang patah yang dibawa oleh datuk mangsa untuk aktiviti menembak tupai.

“Remaja berkenaan serta datuk mangsa yang berusia 60 tahun itu ditahan manakala senapang patah dan lesen senjata api yang digunakan dalam kejadian itu pula dirampas,” katanya.

Beliau berkata, senapang patah itu adalah milik moyang mangsa, Saidin Hamid yang berusia 80 tahun dan lesen senjata api untuk pemilikan senapang patah itu pula didapati masih sah sehingga Jun tahun hadapan.

Mayat mangsa kini berada di Unit Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat yang dijangka akan dilakukan esok.

Sebelum ini, maklumat awal yang diterima adalah kematian Puteri mangsa adalah berpunca letupan senapang patah yang dikatakan terjatuh ke lantai di ruang tamu rumah berkenaan yang ketika itu sedang berbaring seorang diri sambil menonton televisyen di ruang tamu itu.

Letupan senapang itu kemudian mengenai pipi kiri mangsa menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 9:00 PM