AZAR puas andai lakonan tinggalkan kesan sekalipun bawa watak pembantu.
Sudirman Mohd Tahir


Peminat drama Melayu pasti mengenali pelakon cantik ini. Biarpun jarang diketengahkan sebagai watak utama, siapa sangka lakonan Azar Azmi mampu menarik perhatian penonton.

Mula aktif dalam bidang seni sejak dua tahun lalu, Azar atau nama sebenarnya Siti Azhar A Azmi, 25, membuktikan dia hadir dengan pakej lengkap sebagai pelakon.

Malah, kemunculan Azar juga menepis tanggapan banyak pihak yang mengatakan kebanyakan bintang baru hanya bersandarkan rupa dan ingin meraih populariti semata-mata.

Bagi Azar yang menyerlah dalam telefilem Bayangan Amelia untuk tayangan Astro, apa saja watak diberikan dia cuba sampaikan dengan baik.

Azar juga tidak mahu bersikap tamak dengan mengharapkan watak utama semata-mata.

Sebaliknya, dia perlu bersikap realistik dengan kehendak penerbit dan stesen TV.

“Saya masuk dalam bidang ini kerana minat. Saya terima setiap tawaran selagi mampu untuk dilakukan. Malah saya tak kisah jika ia watak utama atau pembantu.

“Apa yang saya utamakan adalah lakonan meninggalkan kesan di hati penonton. Tidak guna saya melakonkan watak utama sekiranya gagal menjiwainya.

“Malah saya lebih bangga dan berpuas hati seandainya watak pembantu yang dijayakan meninggalkan kesan terhadap penonton. Disebabkan itu, saya tak pernah fikir dan tetapkan watak apa perlu dilakonkan. Apa yang penting orang ingat watak saya,” katanya.

Azar yang juga bekas peserta Dewi Remaja 2010 tidak berasa ralat apabila lambat meraih populariti berbanding rakan seangkatan lain seperti Neelofa, Anzalna Nasir, Syatilla Melvin, Izara Aishah dan Ramona Zam Zam.

Bagi Azar, mereka memiliki kelebihan masing-masing. Malah, Azar sentiasa percaya dan yakin dengan rezeki yang ditetapkan Allah SWT.

“Tamat Dewi Remaja, saya giat berlakon namun mula memperlahankan rentak untuk fokus bisnes pakaian, Azarhof yang baru hendak bermula.

“Hampir lima tahun menyepi dan apabila melihat kejayaan kawan, hati mulai rindu untuk kembali berlakon dengan harapan 2017 menjadi permulaan yang baik untuk saya cipta nama.

“Alhamdulillah, sepanjang tahun ini saya menjayakan tujuh drama. Semua ini rezeki. Malah, dalam tempoh dua tahun ini juga saya boleh ‘survive’ sebagai anak seni. Pendapatan diraih masih boleh tampung kehidupan,” katanya.

Antara drama lakonan Azar ialah Suri Hati Mr Pilot (Astro), Mr Boss Miss Stalker (TV3), Mukhlis 2 (RTM), Syurgaku Tak Sempurna (Hypp TV), Red Velvet (Astro) dan My Coffee Prince (Astro).

Terbaru, Azar juga terbabit dalam drama Tiada Jodoh Arah Kita dan Isteri Untuk Diiktiraf.

Rancak berniaga

Dalam kesibukannya merencana kerjaya seni, Azar mengorak selangkah lagi dalam bidang perniagaan apabila menghasilkan produk kecantikan ZS Instant White.

“Dahulu produk ini dikendalikan orang lain, namun disebabkan ada masalah, pemilik syarikat ini menjualnya kepada saya. Sejak dua bulan lalu saya menguruskan semua perkara membabitkan pemasaran, promosi dan jualan.

“Memandangkan sebelum ini saya menguruskan perniagaan butik, jadi tak ada masalah untuk saya. Pada masa sama, saya masih boleh menerima tawaran berlakon. Pendek kata, apabila terbabit dalam perniagaan, tanggungjawab memang besar.

“Buat masa sekarang, saya mempromosikan produk sendiri. Kalau di lokasi, saya berikan kepada rakan artis dan meminta bantuan mereka mempromosikan produk ini di laman Instagram masing-masing,” katanya.

Menurut Azar, dia seronok dengan apa diusahakan malah tidak sesekali terbit rasa serik atau ingin berhenti berlakon.

“Saya ‘enjoy’ buat dua pekerjaan dalam satu masa. Tak rasa penat pun. Prinsip saya mudah, kalau nak berjaya tidak boleh cepat mengalah. Kata orang, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

“Dalam bidang ini, saya ada sasaran tersendiri. Saya juga ingin berjaya seperti usahawan lain. Saya menjadikan Neelofa sebagai mentor dan idola,” katanya.

Putus cinta

Beralih sisi peribadi, Azar mengakui sudah putus cinta dengan duda anak dua beberapa bulan lalu.

“Saya kini kembali solo. Agak lama juga kami bersama iaitu tiga tahun. Mungkin antara kami tiada jodoh. Malah, saya percaya ini semua ketentuan dan aturan Allah.

“Saya tak berasa ralat apabila putus sebaliknya bersyukur kerana banyak perkara dipelajari daripada hubungan yang terjalin. Bagi saya cukup dengan apa dilalui,” katanya.

Pada masa sama, Azar turut berkongsi dia kini sedang me­ngenali hati budi ahli perniagaan berusia 29 tahun.

“Kami masih dalam fasa berkenalan. Belum terfikir lagi nak membawa hubungan ini ke fasa serius,” katanya ringkas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 5:32 AM