KEADAAN Produa Viva dipandu ayah Nur Ghaziyah Athirah dalam kemalangan meragut nyawa lima beranak di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru - Seremban berhampiran persimpangan Melayu Raya, Segamat, Selasa lalu. Gambar kecil, Nur Ghaziyah Athirah. FOTO Ihsan Bomba


NUR Ghaziyah Athirah Muhamad Abu Dujanah, 3, kanak-kanak yang terselamat dalam kemalangan meragut nyawa lima beranak di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru - Seremban berhampiran persimpangan Melayu Raya, Segamat, Selasa lalu, masih dalam keadaan kritikal.

Bapa saudara mangsa, Muhammad Taqiyuddin Dzulkirnain, 26, berkata, Nur Ghaziyyah masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Katanya, doktor sedang berusaha memberikan rawatan terbaik bagi menstabilkan keadaan anak arwah abangnya itu.

"Keadaan Nur Ghaziyyah masih kritikal. Dia mengalami kecederaan di kepala dan juga beberapa kecederaan di bahagian badan.

"Pasukan doktor masih berusaha memberikan rawatan terbaik bagi menstabilkan keadaannya.

"Saya sekeluarga memohon semua rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik buat Nur Ghaziyah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian 6.11 petang itu, Nur Ghaziyah bersama bapa, Muhamad Abu Dujanah Dzulkrinain, 30; ibunya, Zinnirah Abdul Hamid, 28; kakak, Nur Maghfirah, 6; abang, Muhammad Abu Ajwad, 4 dan adik, Nur Alia Humairah, tiga bulan, dalam perjalanan pulang dari Muadzam Shah, Pahang ke Kluang ketika kejadian.

Malangnya, Perodua Viva yang dipandu bapanya hilang kawalan lalu berpusing dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung bas ekspres menyebabkan ibu, bapa dan abangnya meninggal dunia di tempat kejadian manakala kakak dan adiknya meninggal dunia di Hospital Segamat.

Nur Ghaziyah selamat menjalani pembedahan kecemasan selama dua jam 40 minit di HSA yang dilakukan sepasukan doktor pakar sebaik tiba di hospital itu pada 6 petang Rabu dari Hospital Segamat.

Sumber berkata, Nur Ghaziyah kini diletakkan di bawah pemantauan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kanak-kanak HSA.

Berita berkaitan

Doakan Nur Ghaziyah Athirah cepat sembuh

'Aku takut tak sempat didik anak...'

Berita berkaitan

Dapat tahu kehilangan adik melalui FB

Ya Allah, ampunilah, rahmatilah mereka...

Lima sekeluarga ajal bersama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 5:07 PM