PROGRAM Jelajah Ikan Murah Harga Patut dapat sambutan ramai di Pelabuhan Klang, semalam.


Pelabuhan Klang: Lebih 1,500 pengunjung menyerbu malah sanggup beratur menunggu giliran semata-mata mahu mendapatkan ikan murah dalam Program Jelajah Ikan Murah Harga Patut di Kawasan Lapang, Jalan 7, Pandamaran Jaya di sini, semalam.

Dalam program itu, pengunjung berebut membeli ikan kembung, cencaru, sardin dan mabong yang dijual pada harga RM5 sekilogram (kg).

Selain ikan, ayam pencen juga dijual pada harga RM6 seekor dan ayam biasa RM10 selain tong gas pada RM20 untuk satu tong.

Pengunjung Akma Rajali, 46, berkata, dia teruja apabila mengetahui program itu diadakan di kawasan perumahannya.

“Sebelum ini saya pergi ke Shah Alam tetapi tidak dapat beli ikan kerana terlalu ramai orang beratur dan ketika itu hujan.

“Namun apabila ia diadakan di sini, saya beratur sebelum jam 9 pagi untuk membeli ikan murah,” katanya.

Menurutnya, dalam program itu dia membeli ikan cencaru, kembung, sardin dan seekor ayam.

“Bahan mentah ini boleh tahan untuk seminggu dan saya hanya belanja RM21 saja,” katanya.

Suri rumah Salwati Yusof, 44, berkata, program itu meringankan bebannya yang mempunyai lima anak.

“Hari ini (semalam) saya beli tujuh kg ikan cencaru dan tiga kg ikan kembung dengan kos RM50 saja.

“Jika beli di kedai lain kosnya mungkin dekat RM90,” katanya yang tinggal di Bandar Sultan Suleiman dekat sini.

Salwati berharap program itu akan diadakan lagi pada masa akan datang termasuk menjual makanan laut seperti ketam, udang serta sotong pada harga murah.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian UMNO Klang Abu Hassan Rosli berkata, bekalan ikan murah harga patut itu habis dijual tidak sampai tiga jam.

“Empat tan bekalan terdiri daripada pelbagai ikan, 1,000 ayam, 150 tong gas dan 200 rak telur habis dijual pagi ini (semalam).

“Kita bermula pada jam 9 pagi dan belum sampai jam 12 tengah hari semua barang habis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 7:23 AM