FOTO Mohd Azren Jamaludin
Sudirman Mohd Tahir


AISHAH menepati ramalan ramai apabila diumumkan juara pertandingan akhir program Gegar Vaganza musim keempat (GV4), malam tadi.

Aishah yang popular menerusi lagu Janji Manismu menewaskan lima peserta lain, Liza Hanim, Hazami, Lan, Tia Jinbara dan Firman.

Dia sekali gus membawa pulang RM100,000 tunai dan satu lot tanah banglo sumbangan Bina Megan Empire.

Selain itu, Aishah turut meraih pakej percutian ke Eropah Timur sumbangan selamatbercuti.com, barangan kemas sumbangan DSV Gold & Jewellery, baucar membeli-belah bernilai RM6,000 sumbangan Go Shop dan piala Gegar Vaganza.

Penyanyi itu memberikan persembahan mantap membawakan lagu All By My Self nyanyian asal Celine Dion dan Supergirls berduet dengan Liza Hanim.


FOTO Mohd Azren Jamaludin

Tempat kedua dimenangi Liza Hanim yang menerima RM50,000 manakala tempat ketiga, Lan Solo (RM30,000).

Hazami pula mendapat tempat keempat menerima RM20,000 dan tempat kelima dimenangi Firman, membawa pulang RM15,000.

Berada di kedudukan terakhir, Tia Jinbara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Sementara itu, Hazami dipilih sebagai pemenang DiGi Star of The Week hasil undian peminat.

Pemenang bagi Anugerah Gelora Vida Vaganza menjadi milik Aishah.

Kesemua finalis turut menerima trofi, barangan kemas dan baucar membeli belah.

Hadiah disampaikan penaja platinum GV4, Datuk Seri Vida, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh dan Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad.

Sepanjang lapan minggu Gegar Vaganza bersiaran, enam penyanyi lain yang turut terbabit ialah Ferhad, Raja Azura, Haida, Elyana, Aqasha dan Syura.

Juri tetap terdiri daripada Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang serta dua juri jemputan iaitu Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Rosyam Nor.

Para peserta diadili sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh pihak juri dan program itu dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Pentas akhir GV4 turut diserikan dengan persembahan daripada dua bekas vokalis kumpulan Exist, Mamat dan Ezad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 12:31 AM