Antara jemaah yang menghadiri solat hajat dan taklimat di Masjid Al-Azim Taman Semarak, malam tadi. FOTO ihsan Md Fakarudin Ab Rahman dan sktamansemarak.edu.my.
Raja Noraina Raja Rahim


“ANAKKU Sazali tidak akan berulang.” Itu pendirian Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak Md Fakarudin Ab Rahman apabila ditanya mengenai kes guru sekolah itu, Cikgu Azizan atau Azizan Manap, 44, yang tular di Facebook (FB).

Menurutnya, pihaknya mewujudkan solidariti menyokong Cikgu Azizan selepas mengetahui guru itu dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memukul muridnya pada Oktober lalu.

Beliau tidak menyangka ia mendapat sokongan secara meluas bukan saja dari ibu bapa, tetapi juga penduduk sekitar dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan menjadi tular di FB.

"Saya memulakan solidariti menyokong Cikgu Azizan bukan kerana nak jadi hero, tetapi menghormati guru sebagai pendidik. Sokongan itu bukan bersifat peribadi sebaliknya demi melihat kemenjadian murid mendepani aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Dalam hal ini, kita bukan mahu mencari salah sesiapa tetapi sekadar memberi sokongan. Kalah atau menang bergantung kepada keputusan mahkamah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Md Fakarudin berkata, pihaknya turut mewujudkan hashtag buat guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid itu seperti #pray4cikguazizan dan #anakkusazalitidakakanberulang.

Katanya, solat hajat dan taklimat turut diadakan di Masjid Al-Azim Taman Semarak, Nilai, selepas solat Isyak malam tadi dan kira-kira 100 orang terdiri daripada ibu bapa, ahli kariah dan NUTP hadir.

Beliau menjangkakan 300 guru, ibu bapa dan masyarakat setempat hadir memberi sokongan kepada Cikgu Azizan yang akan menghadapi perbicaraan kes di Mahkamah Majistret Seremban, esok.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan dalam kenyataan menzahirkan simpati terhadap apa yang berlaku kepada Cikgu Azizan.

Jelasnya, iGuru memberi sokongan penuh dan bersolidariti kepada guru terbabit atas usahanya mendidik dan mendisiplin murid.

"iGuru berharap ibu bapa dan mahkamah dapat menyelesaikan isu dengan penuh bijaksana dan harmoni serta adil. iGuru berharap ibu bapa tidak terburu-buru membuat pendakwaan dan sewajarnya mencari jalan muzakarah atau perbincangan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menggesa warga guru menjaga imej dan profesion agar martabat guru dihormati dan disegani.

Berita berkaitan

Pray for Cikgu Azizan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 2:54 PM