Mahkamah Majistret Seremban melepas tanpa membebaskan Cikgu Azizan (tengah) daripada pertuduhan mencederakan muridnya, hari ini. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


“SAYA memaafkan anak murid saya dan keluarganya. Sudah pasti saya mendoakan dia berjaya suatu hari nanti dan jadi anak yang baik,” kata Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan selepas dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Seremban, hari ini.

Cikgu Azizan tidak dapat menahan sebak ketika melangkah keluar dari kamar mahkamah selepas Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu.

Beliau melahirkan rasa penuh kesyukuran dan berterima kasih kepada semua pihak terutama yang hadir memberi sokongan terhadapnya terutama Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

“Dari lubuk hati, saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya kepada guru, PIBG, NUTP dan semua yang hadir.

“Saya hargai semua doa mereka. Saya anggap anda semua sahabat dan saudara saya. Saya mendoakan kita semua dirahmati. Saya tidak berdendam dengan murid itu serta keluarganya,” katanya.

Lebih 300 orang terdiri daripada ibu bapa, guru, NUTP, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) memberi sokongan moral terhadapnya.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid itu berkata, beliau akan meneruskan tugas mendidik seperti biasa dan tidak serik untuk mendidik murid supaya menjadi insan berjaya.

Katanya, beliau menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia sama ada masih mengekalkannya di sekolah itu atau sebaliknya.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Seremban melepas tanpa membebaskan Cikgu Azizan daripada pertuduhan mencederakan muridnya, pada April lalu.

Mohd Zaki membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Muhammad memberitahu pihaknya menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Cikgu Azizan didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera pada pipi kiri seorang murid Tahun Lima di tapak perhimpunan SK Taman Semarak, Nilai, pada jam 7 pagi, 6 April lalu.

Berikutan kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan

Alhamdulillah, kemenangan untuk Cikgu Azizan

Hak individu untuk sokong Cikgu Azizan

'Cikgu Azizan, kami di belakang anda'

Pray for Cikgu Azizan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 11:09 AM