POLIS membawa suspek yang disyaki membunuh dan memotong anaknya di sebuah rumah di Hong Kong kelmarin. - Agensi
Agensi

Hong Kong: Seorang wanita ditahan kerana disyaki membunuh anak perempuannya berusia 12 tahun sebelum mengerat mayat mangsa dengan menggunakan pisau pemotong daging.

Wanita berusia 37 tahun yang dikenali sebagai Cao ditahan selepas polis memecah masuk ke rumahnya di sebuah flat di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Mongkok, Chung Chi-ming berkata, pihaknya menemui kepala manusia dan beberapa organ lain di dalam tab mandi di kediaman itu.

Katanya, air bercampur darah didapati membanjiri kediaman mereka hingga mengalir ke tangga di tingkat bawah.

Kejadian itu terbongkar secara tidak sengaja apabila jiran suspek mengadu kepada polis selepas Cao tidak memulangkan telefon bimbit yang dipinjamnya.

Chung berkata, polis tiba pada jam 9 malam (waktu tempatan) dan mendapati suspek berada di rumah yang terletak di Jalan Canton itu.

Menurutnya, beberapa anggota polis yang memecah masuk kerana suspek enggan membuka pintu terkejut apabila mendapati rumah itu dipenuhi kesan darah.

Bagaimanapun, Chung memberitahu, motif pembunuhan belum diketahui kerana suspek belum bersedia untuk disoal siasat.

“Kita perlu menunggu supaya keadaannya lebih baik sebelum menyoalnya,” jelasnya.

Sementara itu, seorang jiran suspek yang dikenali sebagai Tsui memberitahu media tempatan, dia terdengar bunyi sesuatu dipotong selama setengah jam.

“Saya menyangkakan ia hanya bunyi kanak-kanak bermain dengan permainan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 4:57 AM