TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan selepas dijatuhi hukuman, hari ini. FOTO Zulkepli Osman
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


NELAYAN sungai dijatuhi hukuman penjara 115 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan atas lima pertuduhan sumbang mahram dan merogol anak kandungnya sejak 2013 hingga Oktober lalu.

Tertuduh yang berusia 53 tahun dari Kampung Tebat, Pekan sebelum itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di dua Mahkamah Sesyen berasingan.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen 1, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 40 tahun oleh Hakim Datuk Unaizah Mohd bagi dua pertuduhan melakukan sumbang mahram anak gadisnya ketika itu berusia 16 tahun pada 20 Oktober 2013 dan 24 Oktober 2014.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di rumah rakit, tepi Sungai Pahang, Kampung Tebat jam 8.30 malam mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan.

Unaizah menjatuhkan hukuman masing-masing 20 tahun penjara bagi setiap pertuduhan itu dan memerintahkan kedua-dua hukuman berkenaan dijalankan berasingan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hassim.

Di Mahkamah Sesyen 4, tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu dijatuhi hukuman penjara 75 tahun dan 30 sebatan atas tiga pertuduhan merogol anak kandungnya itu pada 14 dan 22 September serta 3 Oktober lalu di lokasi sama serta waktu sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun atau maksimum 30 tahun dan 10 kali sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Haryati Abdullah dan Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman dijalankan secara berasingan.

Bagaimanapun, hukuman sebatan ke atas tertuduh dikurangkan berikutan Seksyen 288 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan seseorang pesalah hanya boleh disebat maksimum 24 sebatan.

Mengikut fakta kes, anak sulung tertuduh melarikan diri daripada kediamannya pada 6 Disember lalu selepas tidak tahan diperkosa oleh tertuduh sejak empat tahun lalu dan dia bertindak membuat laporan polis pada 13 Disember bagi membolehkan siasatan diambil.

Tertuduh didakwa mengugut akan merogol adik-beradik mangsa lain sekiranya perkara itu diketahui orang lain selain bertindak memukul serta menendang mangsa untuk menakutkannya.

Mangsa dikatakan ada memberitahu perkara itu kepada ibunya namun ibunya hanya berdiam diri kerana bimbang dipukul suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 4:23 PM