MUATKAN 6 lagu dengan 3 daripadanya sudah diperkenalkan.
MUATKAN 6 lagu dengan 3 daripadanya sudah diperkenalkan.
Michelle Gun


Lebih setahun menceburi bidang seni, Haqiem Rusli dianggap cukup bertuah apabila lagu ciptaannya untuk beberapa penyanyi mendapat sambutan.

Karya ciptaan anak muda berbakat ini, Pesan (Irfan Haris) dan Tersiksa (Putera Band) masing-masing memperoleh 7.9 juta serta 6.8 juta tontonan di YouTube.

Selain itu, Haqiem turut menghasilkan lagu untuk Sufi Rashid (Aku Sendiri) dan Adly Sofwan (Sahabat) yang turut meraih jumlah tontonan tinggi di laman sosial berkenaan.

Menurut penyanyi berusia 19 tahun ini, ilham mencipta lagu datang daripada pengalaman hidup dan kisah cinta sendiri.

“Saya gembira apabila lagu yang dihasilkan untuk penyanyi lain diterima baik pendengar.

“Ini mungkin kerana saya menulis lirik berkaitan dengan kisah yang pernah berlaku dalam kehidupan,” katanya.

Single barunya berjudul Jatuh Bangun duet bersama Aman Ra sudah memperoleh lebih 613,000 tontonan di YouTube dalam tempoh empat hari dimuat naik.

“Orang sudah biasa dengar saya nyanyi lagu balada, tetapi untuk single ini, saya buat rancak pula.

“Lagu itu dihasilkan bersama Omar K, Ikhwan Fatana dan Aman Ra. Saya bersyukur ia turut muncul dalam senarai antara lagu popular dalam YouTube,” katanya.

Belum sedia sambung belajar

Berkongsi perancangan karier seninya bagi tahun depan, Haqiem memberitahu bakal mengeluarkan album menghimpun enam lagu.

Katanya, album berkenaan dikeluarkan khas bagi peminatnya dan tiga daripadanya lagu baru.

“Bagi saya, enam lagu sudah cukup kerana album ini turut memuatkan tiga single yang sudah diperkenalkan,” katanya.

Mengenai soal pengajian pula, Haqiem berkata, buat masa ini dia mahu fokus sepenuhnya terhadap karier nyanyian.

“Impian sambung belajar memang ada, namun belum fikir mahu mengambil bidang apa.

“Mungkin selepas dua tahun barulah saya sambung belajar,” katanya yang kini sibuk dengan persiapan persembahan Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) menerusi lagu popularnya Tergantung Sepi.

Bakal dapat lesen memandu

Usaha Haqiem sejak lebih setahun lalu membuahkan hasil dengan merealisasikan impian membeli kereta sendiri.

Baru-baru ini, Haqiem menggunakan wang hasil titik peluhnya membeli kereta Mitsubishi Lancer yang dibeli secara tunai.

Bagaimanapun, ketika menempah kereta itu, penyanyi berkenaan belum memiliki lesen memandu berikutan sibuk dengan jadual kerja seharian.

“Akhirnya saya dapat mencuri sedikit masa untuk menghadiri kelas memandu dan akan menduduki ujian mendapatkan lesen tidak lama lagi.

“Selepas ini, saya sudah boleh bergerak ke mana-mana dengan sendiri,” katanya.

Berdebar menanti AJL32

Mengenai persiapan AJL32 yang bakal berlangsung pada Februari depan, Haqiem akan bersaing dengan 11 penyanyi hebat menerusi lagu Tergantung Sepi.

Sebelum ke peringkat akhir, single Segalanya Haqiem turut dipertandingkan dalam Muzik Muzik 32.

“Jujurnya, saya agak terkejut layak ke AJL32 kerana masih baru dalam industri muzik tanah air.

“Saya sangat syukur dapat masuk ke pentas berprestij ini,” katanya.

Menurutnya, persiapan untuk persembahan di AJL32 sudah dirancang rapi dan akan mengetengahkan konsep berkaitan Tergantung Sepi.

“Saya mahu membuat persembahan yang boleh membuatkan penonton memahami maksud Tergantung Sepi.

“Walaupun persembahan dua bulan lagi, perasaan gementar sudah ada namun belum sampai ke tahap tertekan.

“Ini kerana saya bukan jenis mudah tertekan terhadap sesuatu dan seorang yang tenang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 3:40 AM