Keadaan pondok pengawal keselamatan lokasi mangsa diserang empat penjenayah
Keadaan pondok pengawal keselamatan lokasi mangsa diserang empat penjenayah
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEORANG pengawal keselamatan maut ditetak empat lelaki di sebuah loji kumbahan berhampiran Puchong Permai di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu, mangsa Muhammad Gul, 69, maut di tempat kejadian akibat ditetak di bahagian kepala, tangan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila empat lelaki dipercayai mabuk bertindak menyamun mangsa untuk membeli arak.

Beliau berkata, polis percaya berlaku pergelutan menyebabkan mangsa ditetak.

"Susulan kejadian itu polis melakukan operasi memburu suspek di kawasan berkenaan.

"Berdasarkan maklumat dan risikan, polis berjaya menahan tiga suspek berusia 16 hingga 20 tahun pada jam 4 pagi tadi," katanya.

Muhammad Azlin berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku membuang parang dan baju yang digunakan ketika membunuh mangsa.

"Suspek dipercayai menyamun mangsa kerana tiada duit untuk membeli arak.

"Polis kini giat mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas,"katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 12:43 PM