KELUARGA besar pelakon, Den Wahab termasuk pengarah Aziz M Osman kerugian lebih RM55,000 selepas mendakwaditipu wanita yang menyamar sebagai wakil agensi pelancongan yang dipilih mereka. FOTO ihsan Den Wahab
Sudirman Mohd Tahir


KELUARGA besar pelakon, Den Wahab termasuk pengarah Aziz M Osman kerugian lebih RM55,000 selepas mendakwa ditipu seorang wanita yang menyamar sebagai wakil agensi pelancongan Arba Travel & Tours ketika mereka bercuti di Korea Selatan.

Akibat penipuan itu, Den atau nama sebenarnya Zaharuddin Abdul Wahab bersama 21 ahli keluarga lain terkandas di negara itu berikutan penginapan, pengangkutan dan aktiviti percutian yang berbaki dua hari lagi gagal diselesaikan.

“Kami tiba di sini pada Ahad lalu. Namun, masalah timbul hari ini apabila isteri Aziz M Osman, Lily Lokman memaklumkan bayaran memasuki taman tema belum dibuat.

“Dari situ segalanya terbongkar apabila kami dimaklumkan bayaran untuk penginapan dan pengangkutan juga belum dijelaskan kepada pihak agensi pelancongan kami.

“Sedangkan, kami sudah menjelaskan semua bayaran lebih RM55,000 sebelum berangkat ke sini. Kami jadi buntu dan tak tahu nak buat macam mana,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Den, Lily ada menghubungi wanita terbabit namun alasan diberikan tidak masuk akal. Sebaliknya, wanita itu berdolak dalih dan menuding jari kepada pihak lain.

“Selepas dihubungi, wanita berkenaan hanya menjelaskan RM1,500 kepada agensi pelancongan berkenaan. Memang tak masuk akal, kerana kami ada dua hari lagi di sini.

“Namun, saya dan keluarga berterima kasih kepada pihak agensi pelancongan kerana sudi mendahulukan duit mereka bagi menyelesaikan masalah ini.

“Saya difahamkan, bukan kami saja yang ditipu, malah ada grup lain dalam percutian ini turut menjadi mangsa penipuan wanita ini,” katanya.

Sehubungan itu, satu laporan polis bakal dibuat pada Jumaat sekembalinya Den ke tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 11:46 PM