SINGLE Pematah Hati catat jumlah tontonan hampir 10 juta di YouTube.
Syafil Syazwan Jefri


Siapa sangka selepas tiga lagu, nama penyanyi dan pelakon Nabila Razali kini mula menjadi sebutan menerusi single ketiganya, Pematah Hati.

Penyanyi yang bakatnya mula dicungkil menerusi program AF2013 ini juga sebenarnya tidak pernah menyangka lagu itu akan menjadi tular seterusnya mencatat jumlah tontonan sehingga hampir 10 juta di YouTube selepas sebulan dimuat naik.

“Dua lagu saya sebelum ini, Katakan Saja yang dikeluarkan pada 2013 dan Cemburu (2016) tidaklah terlalu mendapat perhatian seperti Pematah Hati.

“Saya sendiri pun tak pernah menjangkakan sambutan sehebat ini. Mungkin ia berlaku kerana gimik, pengarahan dan pasukan pengurusan yang bertungkus-lumus.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Aedy Ashraf kerana menjadi sebahagian daripada video muzik Pematah Hati dan gimik yang kami rancangkan,” katanya.

Ditanya mengenai pelbagai parodi yang dihasilkan oleh netizen, Nabila berkata, ia secara tak langsung mempromosikan lagi lagunya.

“Sebelum ini, ada beberapa versi ‘cover’ yang saya nampak. Tapi, saya ingat ia hanya sampai di situ. Tak sangka pula ada yang buat versi parodi dan sebagainya.

“Bukan setakat parodi lagu Pematah Hati, mereka juga hasilkan parodi untuk bahagian ‘cumi cumi’ sahaja dan ada juga yang membuat video lakonan semula, video ‘curahan hati’ yang saya muat naik sebelum lancarkan video muzik itu.

“Secara tak langsung, saya pun seronok melihat hasil kerja mereka yang kreatif,” katanya.

Terbaru, Nabila mencari komposer dan material bersesuaian untuk single keempatnya.

“Insya-Allah, untuk single akan datang saya mahu berduet. Konsep lagu mungkin tak banyak beza dengan tiga lagu terdahulu kerana ia sudah jadi identiti saya.

“Siapa pasangan duet, saya belum fikirkan lagi. Kemungkinan besar lelaki dan suaranya kenalah sesuai dengan lagu rancak dan serasi dengan saya,” katanya.

Ditanya sama ada timbul kerisauan untuk single keempat memandangkan momentum Pematah Hati sangat kuat, Nabila mengakui perkara itu.

“Sejujurnya, memang saya risau jika lagu baru nanti tidak dapat menandingi pencapaian Pematah Hati.

“Saya tak boleh menjanjikan apa-apa kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Pun begitu kejayaan yang diraih Pematah Hati buat saya lebih bersemangat.

“Saya dan pengurusan akan bekerja keras bagi memastikan momentum tak lari,” katanya.

Nabila turut memaklumkan, dia dan pengurusannya belum ada strategi untuk memasarkan lagu keempat memandangkan idea untuk hasilkan gimik sudah digunakan.

“Saya dah pernah buat gimik. Kalau buat lagi, ia tidak akan menjadi seperti yang pertama.

“Bagaimanapun, kita sama-sama tunggu dan lihat. Tentunya, akan ada perancangan daripada pengurusan saya dan bahagian promosi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 4:23 AM