Shaliza (kiri) berbincang dengan Dr Mohamed Najib (kanan) dan Dira selepas Majlis Perasmian Pameran 3 Belas di Creative Space 1, Balai Seni Negara.
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Menjadikan kemusnahan sejarah, pokok, binatang dan manusia yang berlaku di sekeliling sebagai rasa ‘belas’, Shin Pui San, 29, tampil dengan hasil karya yang cukup unik.

Mengetengahkan seni instalasi berkonsepkan diorama, karya Pui San atau lebih dikenali sebagai Novia ini hanya boleh dilihat menerusi lubang kecil dan bukan dipamer di dinding galeri seperti kebiasaannya.

Novia berkata, lubang kecil itu mewakili hatinya yang sakit dan sedih dengan kemusnahan yang berlaku dalam kehidupannya.

“Ketika memandu, saya sering melihat binatang yang dilanggar di tengah jalan. Pokok rambutan di kampung yang ditanam datuk juga ditebang kerana ia mengganggu jiran. Itu belum lagi kemusnahan yang berlaku di Lembah Bujang dan pembangunan yang pesat membangun kini.

“Semua itu menunjukkan betapa manusia kini tidak punya rasa belas dan tidak menghargai haiwan, tumbuhan dan sejarah.

“Jadi, apabila pengunjung mengintai di sebalik lubang kecil itu, mereka dapat melihat sendiri bagaimana kesedihan serta kekecewaan yang saya rasai.

“Saya juga berharap, mereka turut sama merasa kesedihan itu,” katanya.

Novia seorang daripada tiga pelukis yang terbabit dalam Pameran 3BELAS yang kini berlangsung di Galeri Crative Space 1, Balai Seni Negara sehingga 16 Januari depan.

Pameran ini dirasmikan Exco Puteri UMNO Khaidirah Abu Zahar atau Dira Abu Zahar. Turut hadir, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Profesor Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa.

Gandingan Novia bersama dua lagi pelukis iaitu Shaliza Juanna Mohd Jeffry, 28, dan Elaine Wong, 41, pameran 3BELAS memaparkan 40 karya seni unik yang mempunyai cerita tersendiri.

Bagi Shaliza pula, apa yang ingin diketengahkan terzahir dari penghayatan pengunjung sendiri terhadap karya seninus.

Memilih boneka sebagai subjek utama dengan penyampaian dalam bentuk catan dan arca, pengunjung pastinya teruja dengan apa yang dilihat.

“Kalau dilihat, boneka yang dipaparkan ini dihasilkan dengan emosi tersendiri.

“Jadi, apabila pengunjung melihatnya, akan terpancar perasaan ‘belas’ mereka sendiri terhadap apa yang dilihat,” katanya.

Sementara itu, Elaine pula mengekspresikan dirinya sendiri melalui lukisan yang dipamerkan.

“Saya pemalu dan susah untuk meluahkan atau mengekspresikan perasaan yang dirasai dalam diri.

“Jadi, dengan mengetengahkan kucing hitam dalam setiap lukisan, ia menggambarkan dan mengekspresikan segala perasaan dan dalaman saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 6:13 AM