Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Himpunan 500 karya kartun oleh kartunis popular tanah air sejak 1925 sehingga kini yang dipamerkan di Muzium Negara sejak 8 Disember lalu mengembalikan nostalgia peminat terhadap dunia komik tempatan.

Semua karya yang dipamerkan terdiri daripada hasil kerja beberapa kartunis seperti Jaffar Taib, Datuk Lat, Reggie Lee dan Zainal Buang Hussein.

Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kartunis Malaysia Mohd Desa Omar atau lebih dikenali sebagai Juragan berkata, menerusi pameran itu orang ramai berpeluang melihat karya asal kartunis tanah air kerana karya berkenaan tidak lagi ditayangkan di televisyen mahupun media cetak kini.

“Ini pameran kali ketiga terbesar pernah diadakan berpuluh tahun lalu, Rumah Kartun dan Komik Malaysia bekerjasama bersama Muzium Negara mempamerkan kembali karya kartunis veteran pada zaman dahulu hingga kini.

“Pelbagai karya lukisan sejak zaman sebelum perang juga kita paparkan kembali kepada orang ramai untuk mengimbas nostalgia karya veteran yang pertama di Malaysia seperti Raja Sulaiman dan Ali Sanat,” katanya ketika ditemui pada pameran Kartun dan Kita, di sini, semalam.

Beliau berkata, pameran Kartun dan Kita yang berlangsung itu akan dibuka setiap hari kepada orang ramai secara percuma bermula 8 Disember lalu hingga 15 April 2018 dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

“Sepanjang pameran berlangsung, pihak kami berjaya menarik 35,000 pengunjung yang terdiri daripada warga tempatan dan luar untuk melihat kembali karya lama yang dihasilkan karikatur popular tanah air.

“Selain itu, pihak kami menganjurkan karya sebegini untuk memberi pendedahan kepada generasi muda revolusi penghasilan karya kartun dan komik yang dahulunya menggunakan kertas dan pen sehingga dalam bentuk animasi elektronik seperti Upin dan Ipin, Ejen Ali, Gempak Starz, Lawak Kampus dan sebagainya,” katanya.

Katanya lagi, semua karya dipamer asli daripada beberapa kartunis terkenal negara di mana pihaknya melalui pelbagai kepayahan untuk mengumpul karya asli berkenaan.

“Ada antara penghasilan komik tempatan berusia lebih 80 tahun dipamerkan di sini iaitu majalah komik Warta Jenaka hasil tangan M Nor Awang dengan dialog bertulisan Jawi turut dipamerkan di sini.

“Pengunjung bukan saja berpeluang melihat pameran ini malah mereka boleh beramah mesra dan menemui kartunis tanah air dengan mengadakan Sembang Kartun setiap petang sepanjang pameran berlangsung,” katanya.

Tambahnya lagi, untuk memupuk minat anak muda dalam bidang seni lukis, pihaknya turut berkolaborasi bersama 50 penuntut Universiti Multimedia (MMU) di mana lakaran mereka turut dipamerkan di situ kepada orang ramai.

Pelajar tahun pertama Fakulti Multimedia Kreatif MMU, Ahmad Irfan Azfar Mohd Effendy, 22, berkata, pameran itu platform terbaik bagi anak muda mengenal karya kartun dan komik zaman dulu sebelum memasuki era digital.

“Mungkin ramai yang tidak tahu revolusi bidang animasi kini sudah berkembang maju dari era sebelum merdeka hingga tercetusnya komik kartun dalam versi 3D pada pameran ini.

“Saya sendiri teruja dapat melihat kembali karya asal dihasilkan kartunis yang pernah melakar sejarah dalam negara seperti pengasas majalah Gila-Gila iaitu Jaafar Taib, Batu Api, GeliHati, Ujang dan Keluang Man yang pastinya dapat mengimbau kenangan lama,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Izzati Nabilah Khairul Hisham, 19, berkata, ini kali pertama dia melihat pameran kartun dan komik tanah air sejak zaman sebelum perang hingga kini.

“Kartun bukan saja diminati kanak-kanak malah ia bebas diminati pelbagai peringkat usia.

“Melalui pameran ini, saya dapat melihat sendiri bagaimana kartunis zaman dulu menterjemah karya mereka dalam bentuk jenaka di samping menyelitkan unsur nasihat di dalamnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 6:42 AM