Sarah Zulkifli


DOKTOR yang dilaporkan terpotong kepala zakar kanak-kanak berusia 10 tahun ketika proses berkhatan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini, atas tuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa di sebuah klinik, tahun lalu.

Tertuduh, Azahari Hashim, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Mengikut pertuduhan, dia secara cuai mendatangkan kecederaan parah terhadap kanak-kanak lelaki yang kini berusia 11 tahun.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Selain itu, bapa kepada empat anak itu turut didakwa menjalankan klinik perubatan swasta tidak berdaftar dan bagi kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5 akta sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.


Azahari dibawa keluar menggunakan kereta abangnya selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendatangkan kecederaan terpotong kepala zakar kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ketika proses berkhatan di sebuah klinik, tahun lalu. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Manakala bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa tidak mempunyai Sijil Amalan Perubatan yang sah dan dakwaan kes mengikut Seksyen 33 Akta Perubatan 1971 dan boleh hukum di bawah Seksyen 35 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000, jika disabit kesalahan.

Semua kesalahan itu dilakukan di Klinik Keluarga, No 6, Jalan CU 15/B, Taman Cheras Utama, Hulu Langat, pada 8.15 malam, 20 Disember 2016.

Pendakwaan kes Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi manakala tertuduh diwakili peguam Al Sabri Ahmad Kabri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Januari ini sebagai sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak berusia 10 tahun mungkin terpaksa menanggung kecacatan pada zakar sepanjang hidup selepas bahagian kepala kemaluannya terpotong ketika berkhatan menggunakan kaedah laser.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 4:35 PM