KEGILAAN ramai peminat wanita tanpa perlu jaja kontroversi murahan.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Jika diimbas semula perjalanan seni pelakon Syafiq Kyle, laluan yang dilaluinya bukan mudah. Apa yang dikecapinya hari ini adalah atas kesabaran dan titik peluh diusahakannya selama ini.

Maka tidak hairanlah selepas bertahun-tahun bertapak dalam industri, baru sekarang orang menyedari kelibatnya walaupun sebenarnya Syafiq sudah menceburi dunia lakonan lebih enam tahun lalu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, tahun ini tiga drama lakonannya mendapat sambutan hangat peminat, sekali gus membuatkan ramai beranggapan 2017 sebagai tahun kebangkitan Syafiq Kyle.

Bermula dengan drama Suamiku Paling Sweet yang disiarkan TV3 awal tahun ini, disusuli Mencintaimu Mr Photographer bergandingan dengan Hannah Delisha dan Dekatkan Jarak Kita yang baru melabuhkan tirainya berjaya memacu laju populariti jejaka berusia 25 tahun itu.

Siapa sangka, setiap kejayaan yang diraih membuatkan pemilik nama penuh Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak antara bintang muda yang menjadi kegilaan ramai wanita tanpa perlu menjaja sebarang kontroversi murahan.

Shafiq berkata, setiap peluang dan naskhah yang datang akan dilakukan sehabis baik dan sangat komited ketika bekerja.

“Saya tidak pernah bersikap sambil lewa dan sentiasa berusaha memberikan lakonan terbaik. Apatah lagi, semua terbabit dalam pembikinan drama bekerja keras termasuk penerbit, pengarah, kru dan rakan artis.

“Oleh itu, saya perlu komited dan profesional di lokasi penggambaran,” katanya.

Biarpun namanya dijulang sehingga ada yang menggelarkan dirinya ‘hero Malaya’, Syafiq sentiasa berpijak di bumi nyata. Baginya, putaran roda kehidupan sebagai anak seni tidak sentiasa menjanjikan namanya akan kekal di puncak.

“Suatu masa dulu saya hampir meniti puncak apabila peminat mula menerima kehadiran saya dalam industri. Disebabkan beberapa cerita kurang enak, perjalanan kerjaya saya sedikit merudum. Semua itu lumrah yang perlu dilalui insan seni.

“Saya akur, populariti tidak menjamin seseorang untuk terus kekal di hati peminat. Saya perlu bersedia kerana sampai masanya nanti, nama saya mungkin dipinggirkan. Saya melihat apa yang saya dinikmat hari ini sebagai rezeki.

“Saya tidak mengejar populariti, sebaliknya semua yang diperoleh adalah hasil usaha keras selama ini. Pada awal pembabitan, nama saya pernah ditolak kerana mereka tidak yakin dengan bakat saya namun tidak patah semangat, malah terus memberi fokus kepada lakonan.

“Alhamdulillah, saya menerima sokongan ramai terutama peminat yang menjadi tulang belakang kekuatan saya,” katanya.

Mengenai sambutan hangat drama Dekatkan Jarak Kita yang menyaksikan lakonannya bersama Ayda Jebat, Syafiq akui puas hati dan gembira apabila drama itu hampir setiap hari ‘trending’ di Twitter hingga episod terakhir, Isnin lalu.

Sengaja diajak mengulas aksi mesra dan romantik dalam drama yang seakan-akan sudah menjadi ‘makanannya’, Syafiq berkata, ia dilakukan atas dasar profesional.

“Sebagai orang baru masih banyak perlu saya pelajari dan perbaiki. Saya tidaklah mahir sangat melakonkan babak romantik atau aksi mesra. Setakat ini, apa dipersembahkan hasil perbincangan bersama pengarah dan persetujuan pelakon yang bergandingan dengan saya.

“Apa yang pasti, setiap babak mesra dan romantik bukan suka-suka, tetapi mengikut kehendak plot cerita,” katanya.

Syafiq berterima kasih kepada JS Pictures dan penonton kerana memberi satu lagi sejarah manis dalam hidupnya apabila drama itu mendapat tempat di hati peminat.

“Terima kasih kerana menyokong drama ini dan saya sudah cuba sebaik mungkin bawa watak Tashriq. Apa-apa pun, saya perlu berterima kasih kepada Sheila Rusly dan Jinggo kerana banyak membantu.

“Begitu juga dengan barisan pelakon lain yang membintangi drama itu. Kami sudah melakukan yang terbaik,” katanya.

Berganding dengan Ayda sebagai Alyssa, drama Dekatkan Jarak Kita yang mengisi slot Samarinda TV3, ‘trending’ setiap episod di Twitter.

Selain Syafiq dan Ayda, drama itu turut dibintangi Wan Sharmila, Azhan Rani, Aishah Atan, Catriona Ross, Nadia Brian dan Emma Akma. Dalam pada itu, Syafiq juga mencatat memori paling indah tahun ini apabila dia turut ditawarkan berlakon filem.

“Saya baru selesai menjalani penggambaran filem Langsuir di Langkawi. Sebelum ini, ada beberapa tawaran berlakon filem tetapi waktu itu bukan rezeki saya,” katanya.

Bercerita mengenai filem Langsuir, Syafiq sekali lagi digandingkan dengan Hannah Delisha, heroinnya dalam drama bersiri Mencintaimu Mr Photographer.

“Keserasian sudah ada memandangkan kami pernah berlakon bersama sebelum ini. Lagipun, kami mengikuti kelas lakonan kendalian Ellie Suriati dan ia banyak membantu,” katanya.

Menerusi filem arahan Osman Ali itu, Syafiq memegang peranan sebagai Azlan.

“Azlan lelaki kampung yang jatuh cinta dengan makhluk dari dunia lain. Ketika penggambaran berlangsung, pelbagai cabaran terpaksa dihadapi, antaranya keadaan cuaca dan alam memandangkan penggambaran diadakan di lokasi terpencil,” katanya.

Bercinta

Beralih mengenai sisi peribadinya, Syafiq memberitahu dia enggan terburu-buru untuk bercinta sebaliknya mahu terus fokus untuk karier lakonan pada tahun depan dan seterusnya.

“Lumrah setiap lelaki mahu mempunyai wanita di sisi. Namun saya tidak mahu ia terlalu sarat dalam kepala sehingga mengganggu kerjaya seni.

“Biarlah saya kejar impian ini dulu. Saya mahu peminat melihat drama lakonan saya sepuas-puasnya dan kagum dengan apa yang dipamerkan.

“Lagipun, banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari. Jadi percintaan itu biarlah kemudian saya fikirkan dan berkongsi dengan peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 7:54 AM