Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG wanita pengsan dipercayai ketakutan selepas diancam dengan parang oleh anak lelakinya selepas dia tidak menghiraukan permintaan anaknya itu yang mahukan wang di Kampung Mengabang Tengah, Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 44 tahun terkejut dari tidur apabila anak lelakinya berusia 20-an, masuk ke dalam biliknya sambil mengamuk.

Menurut sumber, suspek meminta sejumlah wang daripada mangsa namun wanita terbabit tidak menghiraukan permintaan itu menyebabkan anaknya naik angin.

Katanya, suspek mengambil parang di dapur dan mengacukan senjata iutu ke arah mangsa sambil mengugut mahu mencederakannya.

“Mangsa yang takut keluar dari rumah namun dia pengsan manakala suspek melarikan diri.

“Pergaduhan dua beranak itu didengari jiran yang cuba membantu.

“Apabila jiran ke rumah mangsa dia ternampak wanita itu pengsan lalu menghubungi polis,” katanya.

Sumber berkata, mangsa memberitahu suspek sering meminta wang dan akan mengamuk jika permintaannya tidak dipenuhi.

Wanita itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, suspek yang positi dadah kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 6:40 PM