KEADAAN kenderaan dinaiki mangsa. FOTO Ihsan Polis dan Bomba
Alif Amal Azahari
am@hmetro.com.my


TIGA maut termasuk dua beranak, manakala seorang lagi cedera apabila kenderaan pelbagai guna Perodua Alza dinaiki bertembung dengan pacuan empat roda Ford Ranger dekat Kilang Rimbunan Hijau di Jalan Long Lama Bakong, Miri, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Eyeo Chun Hua, 51, Tan Ai Shan, 28 dan Tan Kheng Wei, 11, yang menaiki Perodua Alza meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Wong Si Young, 27, cedera.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Deputi Superintendan Bingkok John berkata, semua mangsa menaiki Perodua Alza itu dalam perjalanan dari Long Lama menuju ke Miri sebelum kenderaan mereka bertembung dengan pacuan empat roda dari arah bertentangan.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berpunca akibat pemandu Ford Ranger gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera termasuk pemandu Ford Ranger dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri tiba ke lokasi untuk operasi menyelamat pada 4.49 petang.

“Kami mengeluarkan seorang daripada mangsa yang maut iaitu Eyeo kerana tersepit di bahagian tempat duduk hadapan penumpang.

“Semua mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan paramedik di lokasi untuk dibawa ke Hospital Miri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 10:05 PM