Nabihah Kamal

 

"Saya tak mahu ingat dah. Saya nak teruskan pengajian di pusat tahfiz ini," kata Indra Kurniawan Mohd Amirul, 13,  yang parah dan koma sebulan dalam tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur,14 September lalu.

Dalam kejadian itu, 23 syahid, 21 daripadanya pelajar dan dua lagi guru.Tambah memilukan, kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat dan dua daripada enam suspek dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan 3 Januari depan perbicaraan disambung semula.


Kesan kecederaan Indra Kurniawan.

Menurut Indra yang masih trauma dengan kejadian itu, dia tidak sedarkan diri selepas terjun dari tingkat tiga bangunan pusat tahfiz berkenaan untuk menyelamatkan diri.

"Saya terjun dan tidak fikir apa-apa. Saya sedar, sudah berada di hospital.

"Apa yang penting, saya tidak mahu ingat lagi kejadian itu," katanya yang melecur 23 peratus di bahagian badan dan kaki.

Indra berkata, sebahagian daripada telinga kirinya terpaksa dipotong dalam kejadian itu.


Indra Kurniawan tak mahu ingat lagi tragedi kebakaran yang menyebabkannya parah.

"Sebahagian telinga kiri saya terpaksa dipotong kerana melecur dan luka hingga menyebabkan jangkitan.

"Saya bersyukur kerana selamat walaupun koma sebulan," katanya.


Tangan Indra Kurniawan yang melecur.

Sementara itu, seorang lagi pelajar pusat tahfiz itu yang retak tulang pinggul selain melecur 20 peratus di badan, Muhammad Shahir Sharifuddin, 11, berkata, dia lega dapat berjalan seperti biasa walaupun terpaksa menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Ketika kejadian, saya tersedar kerana rasa macam tiada aircond (pendingin hawa), rupa-rupanya ada api.

"Rasa belakang panas menyebabkan saya terjun dari tingkat tiga untuk selamatkan diri," kata anak ketiga dari empat beradik itu.


Muhammad Shahir

Katanya, dia sepatutnya menjalani dua pembedahan untuk pulih ketika dirawat di hospital.

"Sepatutnya saya perlu jalani pembedahan dua kali. Alhamdulillah tak jadi kerana kulit yang melecur dan tulang pinggul yang patah semakin pulih.

"Sepanjang dirawat saya minum air zam-zam untuk cepat baik," katanya.


Penggunaan compression garment untuk kulit terbakarmembantu memulihkan luka melecur Muhammad Shahir.

Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Mohd Zahid Mahmood berkata, dia bersyukur kerana dengan sokongan masyarakat dan kerajaan pusat tahfiz berkenaan dapat dibangunkan semula.

"Pada mulanya saya rasa tertekan dengan pelbagai kecaman netizen dan rasa bersalah atas apa yang terjadi menyebabkan saya menyalahkan diri saya sendiri.

"Bagaimanapun, apabila mengetahui punca kejadian ini angkara khianat, saya lega dan berusaha untuk bangunkan selain tingkatkan keselamatan pusat tahfiz ini," katanya.

Menurutnya, pusat tahfiz itu sedang dinaiktaraf dari segi keselamatan dan fasiliti untuk kemudahan pelajar.

"Alhamdulillah atas sokong dan sumbangan orang ramai kita dapat bangunkan tahfiz selain memberi keselesaan kepada pelajarnya.


Mohd Zahid

"Bagi kemasukkan 2018, pusat tahfiz menerima lebih 140 pemohonan namun had kemasukan 45 orang saja untuk memasuki pusat tahfiz ini," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 11:36 PM