Azrow mengendong Nur Aishy Amanda sambil diperhatikan anak lelakinya, (dari kanan) Muhammad Aizat, Muhammad Aniq Azriel, Muhammad Ariq Aiman dan Muhammad Azib Azhari. FOTO Adi Safri
Azrow mengendong Nur Aishy Amanda sambil diperhatikan anak lelakinya, (dari kanan) Muhammad Aizat, Muhammad Aniq Azriel, Muhammad Ariq Aiman dan Muhammad Azib Azhari. FOTO Adi Safri
Mohamed Farid Noh


“SAYA buntu tanpa isteri di sisi,” kata Azrow Othman, 43, yang kehilangan isterinya selepas 19 hari melahirkan anak bongsu mereka yang juga satu-satunya anak perempuan dinantikan sejak empat tahun lalu.

BH Online melaporkan, isteri Azrow, Roslina Ariffin, 39, meninggal dunia akibat sesak nafas kira-kira 2 pagi tadi, selepas melahirkan anak kelimanya, Nur Aishy Amanda.

Pasangan yang tinggal di Taman Soga, Batu Pahat itu mempunyai empat lagi anak lelaki berusia antara 5 hingga 16 tahun.

Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu berkata, dia tidak menyangka isterinya meninggalkan mereka selepas melahirkan anak bongsu.

“Arwah melahirkan anak bongsu kami menerusi pembedahan, arwah tiada penyakit atau sebarang masalah ketika mengandung.

"Namun kira-kira jam 11.45 malam tadi, isteri tiba-tiba mengadu sesak nafas sebelum pengsan. Saya membawa isteri ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), namun doktor mengesahkan isteri meninggal dunia pada 2 pagi,” katanya yang gagal menahan sebak.

Menurutnya, anak perempuan itu yang dinantikan mereka sejak empat tahun lalu.

Sementara itu, anak sulung arwah, Muhammad Aniq Azriel, 16, berkata, mengikut perancangan bapanya, arwah ibu serta adik beradik yang lain hendak menghantarnya pulang ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pontian hari ini.

"Namun tidak sangka ibu akan pergi meninggalkan kami adik-beradik termasuk Baby (Nur Aishy) dan tidak sempat menghantar saya ke MRSM seperti selalu, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 6:54 PM