PUTERI Qistina Damia (kiri) dan Puteri Qistina Najwa mencuri tumpuan di SK Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad

Johor Bahru: Sepasang kembar perempuan mencuri tumpuan pada hari pertama sesi persekolahan bagi pelajar tahun satu Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Uda 2 di sini, semalam.

Pasangan kembar seiras, Puteri Qistina Damia dan Puteri Qistina Najwa Mohd Hairi, 7, bukan saja dilihat sentiasa bersama sejak sesi bermula, malah ditempatkan di kelas yang sama.

Puteri Qistina Najwa yang lebih petah bercerita berkata, dia begitu gembira memulakan sesi persekolahan bersama kakaknya.

“Saya dan kakak bangun awal pada jam 6 pagi untuk ke sekolah hari ini dan perasaan kami sangat seronok dapat pergi sekolah sebab dapat kenal ramai kawan baru serta cikgu baru.

“Saya dan kakak hendak belajar rajin-rajin sebab kami sama-sama nak jadi guru bila besar nanti,” kata anak ketiga dan keempat itu.

BEREHAT bersama di kantin. FOTO Omar Ahmad

Sementara itu, Guru Besar SK BBU 2, Zulkifly Ahmad berkata, pada tahun ini pihaknya menerima 195 pelajar tahun satu bagi sesi persekolahan 2018.

Katanya, semua murid tahun satu diletakkan di kantin dalam tempoh seminggu sebagai orientasi sebelum masuk ke kelas masing-masing.

“Alhamdulillah, ini kali terakhir saya menerima pelajar tahun satu kerana selepas ini saya bersara.

“Saya berharap semua pelajar dapat mengikuti sesi pembelajaran dan belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 8:04 AM