PEMERGIAN 21 pelajar dan 2 guru dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mengejutkan seluruh rakyat Malaysia. FOTO Shawal Azani

Nor Azura Abdul Jalil

zura_jalil@hmetro.com.my

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, memerintahkan kes dua remaja lelaki berusia 16 tahun yang didakwa membunuh 21 pelajar dan dua guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, September lalu, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Majistret Siti Radziah Kamarudin yang memutuskan demikian bagaimanapun tidak menetapkan sebarang tarikh.

Permohonan untuk memindahkan kes dibuat mengikut Seksyen 177A Kanun Acara Jenayah.

Kedua-dua remaja itu dituduh bersama-sama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas 21 pelajar dan dua guru di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju antara jam 4.15 pagi hingga 6.45 pagi, 14 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail dan Nurakmal Farhan Aziz manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haijan Omar.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kanak-Kanak, Majistret Zilfinaz Abbas melepas tanpa membebaskan seorang daripada remaja terbabit atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badan di tandas pejabat D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 11.35 pagi, 16 September lalu.

Berita berkaitan:

Tragedi Tahfiz Darul Ittifaqiyah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 2:03 PM