MUHAMMAD Affin menuruni tangga SK Lepan Jaya dengan menggunakan kaki palsu. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


RUTIN harian Mazuki Saat, 64, pada setiap pagi sejak tiga tahun lalu adalah mendukung cucunya yang kudung kaki dan berjalan 500 meter dari rumah mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Lepan Jaya, Gua Musang.

Ia jadi amalan selagi sesi persekolahan berlangsung kerana Muhammad Affin Abdullah, 10, adalah murid istimewa yang dilahirkan tanpa kaki dan tiada tangan kiri.

Namun semalam, semuanya berubah apabila kanak-kanak itu menerima sepasang kaki palsu sumbangan ahli korporat dari Kuala Lumpur.

Mazuki berkata, dia terharu dan berterima kasih atas sumbangan itu yang merubah kehidupan cucu kesayangannya.

"Affin suka ke sekolah dan sejak tiga tahun lalu, saya mendukung dan menghantar serta mengambilnya dari sekolah setiap hari.

"Di sekolah pula, dia akan dibantu guru dan rakan-rakan. Tidak pernah sekali pun saya rasa terbeban apabila perlu menguruskannya kerana dia sangat istimewa walaupun mempunyai kekurangan.

"Apabila terima bantuan ini, saya sangat bersyukur dan terharu kerana akhirnya dapat juga dia berjalan. Cuma buat masa ini, dia perlu dipantau kerana orang baru boleh jalan," katanya.

Warga emas itu berkata, dia sudah memelihara cucunya sejak dilahirkan dan menganggap ia rahmat Allah yang paling besar untuknya.

Tidak menafikan ada ketikanya dia sedih dan menangis mengenangkan nasib Muhammad Affin lebih-lebih lagi masa depan kanak-kanak itu.

"Namun saya bersyukur kerana dia mendapat perhatian banyak pihak dan Alhamdulillah, ada saja orang mahu membantu," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas Ab Aziz Yusof berkata, Muhammad Affin menerima sumbangan kaki palsu daripada dermawan yang prihatin dengan nasibnya.

Beliau berkata, pihaknya simpati dengan murid orang kurang upaya itu dan berusaha membantu sehingga dia mempunyai kaki baru.

"Kita harap dia dapat berjalan dan belajar dengan lebih selesa selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 4:05 PM